Makluman: Semakan Semula Kadar Cukai Jualan Dan Peluasan Skop Cukai Perkhidmatan Secara Bersasar Berkuat Kuasa 1 Julai 2025

TULAR:
5

Menurut Kementerian Kewangan (MOF):

Seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 pada 18 Oktober 2024, Kerajaan akan melaksanakan semakan kadar Cukai Jualan (CJ) dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (CP) mulai 1 Julai 2025. Langkah ini bertujuan mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas percukaian bagi menambah baik mutu jaringan keselamatan sosial tanpa membebankan rakyat terbanyak.

Semakan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) telah melalui proses libat urus bersama pihak berkepentingan, khususnya persatuan industri dan ejen percukaian. Penyediaan perundangan turut mengambil kira maklum balas serta input industri bagi memastikan majoriti rakyat tidak terjejas dan kesan terhadap pihak industri dapat diminimumkan.

Secara amnya, semakan kadar CJ dan peluasan skop CP merangkumi perkara-perkara berikut:

i.            Kadar CJ kekal tidak dinaikkan ke atas barangan keperluan asas yang digunakan oleh rakyat;

ii.           Kadar CJ sebanyak 5% atau 10% dikenakan ke atas barangan pilihan dan bukan keperluan asas; dan

iii.          Skop kenaan CP diperluas kepada perkhidmatan baharu seperti sewaan atau pajakan, pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan. Peluasan ini disertakan dengan pengecualian terpilih untuk mengelakkan cukai berganda, serta memastikan perkhidmatan keperluan tertentu untuk warganegara Malaysia tidak dikenakan cukai. Kerajaan juga mengambil kira keperluan bagi pematuhan perundangan kepada syarikat yang akan tertakluk kepada SST. Sehubungan itu, bagi syarikat yang mengambil tindakan untuk mematuhi syarat perundangan SST yang ditetapkan, tiada tindakan pendakwaan dan penalti akan dikenakan sehingga 31 Disember 2025.

SUMBER:

Facebook Rasmi MOF

X Rasmi MOF

Instagram Rasmi MOF


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI