
Menurut kenyataan Kementerian Sumber Asli Dan Kelestarian Alam (NRES):
Negara sedang berhadapan dengan situasi jerebu sejak 8 Ogos 2026. Fenomena El Niño yang berlaku serentak dengan Monsun Barat Daya pada masa ini menyebabkan beberapa kawasan khususnya di selatan Semenanjung Malaysia dan bahagian barat dan selatan Sarawak menerima taburan hujan yang lebih rendah daripada purata.
Kombinasi taburan hujan yang lebih rendah dan suhu yang lebih tinggi berpotensi meningkatkan risiko kekurangan sumber air, kebakaran hutan dan tanah gambut serta kejadian jerebu khususnya di kawasan yang mengalami keadaan kering untuk tempoh yang panjang.
Sehingga pukul 3.00 petang, 12 Ogos 2026 (Rabu), daripada 68 stesen pemantauan kualiti udara, 11 stesen telah mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang ‘Tidak Sihat’ iaitu Cheras, Kuala Lumpur (IPU-122), Putrajaya (IPU-121), Shah Alam, Selangor (IPU-112) dan di Sarawak iaitu Miri (IPU-152), Samalaju (IPU-120), Bintulu (IPU-154), Sibu (IPU-135), Sarikei (IPU-161), Sri Aman (IPU-158), Samarahan (IPU 177) dan Kuching (IPU 177). Manakala 1 stesen di Sarawak telah mencatat bacaan IPU pada tahap ‘Sangat Tidak Sihat’ iaitu IPD Serian (IPU – 204)
Kemerosotan kualiti udara di Sarawak disebabkan oleh jerebu merentas sempadan dan kebakaran tempatan yang berlaku di Tapak Pelupusan Sampah di bawah seliaan Majlis Perbandaran Sibu (SMC) dengan anggaran keluasan 1.5 hektar serta kebakaran hutan dan belukar di Sri Aman dengan anggaran keluasan 100 hektar. Operasi pemadaman masih giat dijalankan di kedua-dua lokasi.
Berdasarkan Peta Jerebu Serantau dan maklumat yang dikeluarkan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 12 Ogos 2026, keadaan kering di selatan rantau ASEAN pada pagi ini kecuali di beberapa kawasan di bahagian utara Sumatera yang mengalami hujan. Titik panas (hotspots) terpencil dikesan di bahagian tengah dan selatan Sumatera serta di bahagian selatan dan timur Kalimantan. Beberapa titik panas turut dikesan di Semenanjung Malaysia, Sarawak, Pulau Jawa, dan Sulawesi. Kepulan asap sederhana diperhatikan di Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah, manakala kepulan asap ringan diperhatikan di bahagian selatan Sumatera.
Berdasarkan pemantauan satelit NOAA-20 pada 11 Ogos 2026, sebanyak 12 titik panas dikesan di Malaysia, iaitu 1 di Pahang dan 11 di Sarawak, manakala 60 titik panas dikesan di Sumatera dan 354 titik panas dikesan di Kalimantan,
Cuaca kering dijangka berterusan di kebanyakan kawasan di selatan rantau ASEAN kecuali di bahagian utara Semenanjung Malaysia dan Sumatera yang diramalkan mengalami hujan. Keadaan kering yang berpanjangan boleh menyebabkan peningkatan kejadian titik panas dan jerebu, sekali gus meningkatkan kemungkinan berlakunya jerebu rentas sempadan.
Di peringkat ASEAN, Tahap Amaran 2 telah diaktifkan pada 3 Ogos 2026. Negara-negara di selatan rantau ASEAN iaitu Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand dan Timor Leste perlu mengemukakan Pelaporan Harian dan Tindak Balas Kecemasan bagi kejadian kebakaran, jerebu dan tindakan yang telah diambil.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) akan terus memantau dan melaporkan perkembangan terkini cuaca, kualiti udara dan situasi jerebu yang melanda Negara dari semasa ke semasa. Semua Kementerian, Jabatan dan Agensi berkaitan juga akan melaksanakan tindakan yang digariskan berdasarkan Tahap Amaran di bawah Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) dan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK).
Susulan cuaca panas dan kering serta jerebu, orang awam di kawasan yang terjejas adalah dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti di luar bangunan, memakai pelitup muka dan minum air secukupnya bagi mengekalkan hidrasi. Orang awam juga dilarang untuk melakukan sebarang pembakaran terbuka bagi mengelak situasi jerebu menjadi semakin buruk.
Maklumat IPU rasmi boleh dirujuk melalui https://eqms.doe.gov.my/APIMS/main atau melalui aplikasi telefon pintar MyJAS EQMS. Orang awam juga boleh merujuk maklumat cuaca rasmi melalui laman sesawang MET Malaysia atau aplikasi telefon pintar myCuaca.
SUMBER:






