
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MOF):
MOF ingin memberikan penjelasan berhubung laporan berita yang mempersoalkan pelaksanaan Cukai Jualan ke atas buah-buahan tempatan. Kekeliruan ini timbul susulan kemungkinan buah-buahan tropika termasuk dalam Perintah Warta Cukai Jualan PU(A) 170/2025 yang menyenaraikan barangan yang dikenakan Cukai Jualan sebanyak 5%.
Di bawah peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025, Cukai Jualan dikenakan ke atas barangan yang dikilangkan secara tempatan serta barangan yang diimport. Hasil pertanian yang ditanam di Malaysia tidak dianggap sebagai barangan yang dikilangkan dan oleh itu tidak tertakluk kepada Cukai Jualan. Sehubungan itu, MOF ingin mengesahkan bahawa buah-buahan yang ditanam secara tempatan di Malaysia adalah dikecualikan daripada Cukai Jualan. Walau bagaimanapun, sekiranya buah-buahan tersebut diimport, ia akan dikenakan Cukai Jualan. Ini termasuk buah-buahan tropika seperti pisang, nenas dan rambutan.
Selain itu, Kerajaan mengambil langkah untuk tidak mengenakan Cukai Jualan ke atas barangan keperluan asas harian supaya tidak memberi kesan secara langsung kepada kos sara hidup majoriti rakyat dan kadar inflasi kekal terkawal.
Semakan semula Cukai Jualan hanya mensasarkan barangan pilihan dan premium kepada 5% atau 10%. Ini termasuk cendawan truffle, basikal lumba dan king crab. Senarai barangan berkaitan peluasan SST boleh dirujuk di pautan berikut: https://www.facebook.com/share/p/1Aydfhyamj/
SUMBER: