Penjelasan Berkenaan Pengecualian Cecair Atau Gel Mengandungi Nikotin Dari Akta Racun 1952

TULAR:
458

Menurut kenyataan media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM):

KKM sangat prihatin di atas kebimbangan, reaksi dan maklum balas yang diterima di media massa susulan daripada pengecualian sediaan cecair atau gel mengandungi nikotin untuk tujuan merokok menggunakan rokok elektronik atau peranti pengewapan elektronik daripada Senarai Racun di dalam Jadual Pertama, Akta Racun 1952 [Akta 366].

Lanjutan pengecualian ini, sediaan cecair atau gel mengandungi nikotin untuk tujuan merokok menggunakan rokok elektronik atau peranti pengewapan elktronik kini adalah suatu barangan berduti ekasis dan dikawal di bawah Akta Eksais 1976 [Akta 176].

Akta Eksais 1976 memperuntukkan kawalan antaranya dengan melesenkan aktiviti pengilangan dan penggudangan yang melibatkan sediaan ini. Mana-mana orang yang mengilang barangan berduti ekasis tanpa lesen boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Bagi memastikan terdapat kawalan menyeluruh terhadap sediaan nikotin atau gel mengandungi nikotin di dalam cecair rokok elektronik atau vape, KKM akan membentangkan Rang Undang-Undang baharu yang akan mengawal selia semua produk merokok termasuk bahan merokok yang mengandungi nikotin yang digunakan untuk tujuan merokok.

KKM menyasarkan untuk membentangkan Rang Undang-Undang baharu ini dengan segera dan Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua, Parlimen Kelima Belas yang dijangkakan pada bulan Mei 2023. KKM telah menjalankan sesi libat urus berkenaan dasar yang telah ditetapkan di bawah RUU baharu ini termasuk peruntukan Generasi Penamat Rokok (Generational Endgame, GEG) kepada semua pihak berkepentingan seperti ahli Parlimen, Badan Bukan Kerajaan, Badan Profesional dan pihak lain yang berkaitan.

Sementara itu, KKM akan mempergiatkan kempen advokasi kesedaran bahaya merokok termasuk penggunaan rokok elektronik atau vape melalui Pelan Generational Endgame Anti Rokok (GEGAR) dengan meneruskan pelaksanaan program pencegahan merokok dan intervensi berhenti merokok di sekolah dan institusi pengajian tinggi.

SUMBER:

Facebook Rasmi KKM


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI