Penjelasan Dakwaan 54,000 Warga China Dalam Proses Permohonan Kewarganegaraan

TULAR:
1047

Menurut kenyataan media Jabatan Pendaftaran Negara (JPN):

JPN ingin merujuk kepada isu tular di media sosial ketika ini yang memetik Kenyataan oleh YB Menteri Dalam Negeri (MDN) semasa Sidang Media sempena lawatan kerja rasmi beliau ke JPN pada 9 Januari 2023 yang lalu.

JPN ingin menjelaskan bahawa petikan yang ditularkan tersebut telah dimanipulasi dari sebahagian kenyataan penuh YB MDN di sidang media ketika itu. Intipati kenyataan YB MDN ketika itu adalah memaklumkan antara komitmen beliau sebagi MDN yang baru dilantik adalah untuk membuat keputusan (lulus/ gagal) terhadap permohonan-permohanan kewarganegaraan yang telah tertunggak sekian lama tanpa dibuat sebarang keputusan. Jumlah 54,000 permohonan tersebut adalah merujuk kepada jumlah permohonan dari tahun 2017 sehingga 2022 meliputi pelbagai permohonan di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dan dari pelbagai latar belakang keturunan dan negara asal.

Berdasarkan rekod JPN dari 2019 hingga 31 Julai 2023 lalu, hanya 45 orang individu dari China dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia secara keseluruhan (Perkara 19(1) mengikut Negara asal).

Malah YB MDN ketika itu juga turut memaklumkan beliau menyasarkan 10,000 permohonan dapat dibuat keputusan pada tahun ini. Komitmen ini adalah tindakan proaktif oleh KDN kerana berpandangan keperluan membuat keputusan dalam tempoh yang wajar, antara lain bertujuan memberi keadilan kepada pemohon yang telah memohon sekian lama yang meliputi permohonan di bawah Perkara 15(2), 15A dan 19(1). Sekiranya permohonan mereka ditolak, mereka dapat mencari alternatif lain dalam meneruskan kehidupan di negara ini ataupun di negara lain.

JPN ingin sentiasa menegaskan di mana Permohonan Kewarganegaraan adalah sentiasa tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan perundangan yang berkuat kuasa. Permohonan kewarganegaraan hanya boleh dikemukakan setelah sesorang itu memenuhi syarat yang diperuntukkan di bawah Bahagian III, Perlembagaan Persekutuan, Kaedah-kaedah Kewarganegaraan 1964 serta perundangan berkaitan yang berkuat kuasa dalam isu pendaftaran perkahwinan, pengangkatan, kesahtarafan anak dan peraturan imigresen.

Penganugerahan taraf kewarganegaraan merupakan anugerah tertinggi oleh Kerajaan Malaysia kepada mereka yang benar-benar layak dan memenuhi syarat. Proses yang dilaksanakan oleh JPN adalah tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan selari dengan undang-undang yang berkuat kuasa bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terjamin.

SUMBER:

Facebook Rasmi JPN


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI