Waspada Cubaan Ambilalih Akaun Telegram Dengan Menyamar Sebagai Saluran Bantuan Kerajaan

TULAR:
4846

Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menasihatkan orang ramai agar berwaspada terhadap cubaan scammer untuk mengambilalih akaun Telegram dengan menjemput pengguna menyertai saluran Telegram (Telegram Channel) tidak wujud yang kononnya memberikan maklumat lanjut tentang bantuan-bantuan daripada pihak Kerajaan. Antara contoh nama saluran yang digunakan adalah:

  1. Bantuan Kerajaan
  2. Bantuan Kerajaan Malaysia
  3. Bantuan Kewangan Malaysia
  4. Senarai Bantuan Kerajaan 2023
  5. Senarai Bantuan Kewangan 2023
  6. Info Bantuan Kerajaan Malaysia

Pengguna yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang bantuan-bantuan tersebut akan diminta untuk melayari pautan yang membawa ke laman sesawang palsu yang menyerupai laman Telegram; di mana pengguna kemudiannya perlu memasukkan nombor telefon, dan seterusnya mengisi Kod Pengesahan yang diterima daripada Telegram.

Setelah mengisi maklumat tersebut, akaun Telegram milik pengguna boleh diambilalih oleh pihak scammer untuk tujuan penyamaran identiti, termasuklah bagi memperdaya ahli keluarga, rakan-rakan, serta orang-orang lain yang dikenali di Telegram.

Sehubungan itu, para pengguna adalah diingatkan agar berwaspada terhadap sebarang jemputan atau penawaran mencurigakan yang diterima, dan tidak melayari pautan-pautan yang diberikan.

Pengguna juga diingatkan agar tidak menyerahkan Kod Pengesahan yang diterima daripada Telegram kepada mana-mana pihak, termasuk tidak mengisi kod tersebut di laman palsu yang menyamar sebagai laman Telegram. Untuk makluman, pautan laman Telegram yang sebenar adalah di https://telegram.org

Pengguna turut disarankan untuk melindungi akaun Telegram dengan mengaktifkan pengesahan dua langkah (two-step verification). Pergi ke tetapan Telegram SettingsPrivacy and Security > 2-Step Verification Enable dan ikut arahan yang disediakan.

Pengguna yang menjadi mangsa pengambilalihan akaun Telegram boleh menghubungi saluran bantuan Telegram di https://telegram.org/support untuk bantuan serta panduan mendapatkan semula akses kepada akaun dengan melalui beberapa langkah pengesahan.


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI