Penjelasan Isu Penetapan Tarikh Hari Raya Aidilfitri Tahun Ini, 2022

TULAR:
11570

Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM):

JAKIM ingin merujuk isu penetapan tarikh Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini yang sedang tular di media sosial.

Sebagaimana maklum, Malaysia menggunakan kaedah Rukyah dan Hisab dalam menentukan awal bulan hijri termasuk tarikh awal puasa, Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha. Kaedah ini adalah selaras dengan kehendak syarak dan mengikut kaedah ilmu falak dan astronomi yang telah dipersetujui oleh semua negeri.

Berkaitan penentuan awal Syawal 1443H atau tarikh Hari Raya Aidil Fitri pada tahun ini, aktiviti cerapan rasmi di seluruh negeri di Malaysia akan dilaksanakan di 29 lokasi pada petang Ahad, 29 Ramadan 1443H bersamaan 1 Mei 2022M. Aktiviti cerapan anak bulan ini dilakukan oleh Jawatankuasa Melihat Anak Bulan/Rukyah Negeri yang dipengerusikan oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri dan ahlinya terdiri daripada pakar falak, alim ulamak, pegawai falak yang berkemahiran serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM). Data rukyah yang digunakan adalah data rasmi untuk Malaysia yang dikeluarkan oleh JUPEM.

Pengumuman rasmi tarikh Hari Raya Aidil Fitri akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja Raja (PMBRR) selaku pihak berkuasa yang diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja pada malam tersebut tertakluk kepada hasil aktiviti cerapan anak bulan di semua lokasi yang telah ditetapkan.

Sehubungan itu, suka pihak JAKIM menasihatkan semua pihak supaya menghormati proses penentuan rasmi tarikh Hari Raya di negara ini yang telah dilaksanakan sejak sekian lama dan menyerahkan tanggungjawab ini kepada pihak berautoriti.

SUMBER:

Facebook Rasmi JAKIM


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI