Penjelasan Mengenai Isu Zakat Tabung Haji bagi Tempoh 2016–2019

TULAR:
4

SEBENARNYA,

Menurut YH. Profesor Dato’ Dr. Asmadi Mohamed Naim, Mantan Pesuruhjaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI):

Tular pelbagai dakwaan dan perbincangan di media sosial berhubung isu pembayaran zakat oleh Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2016 hingga 2019 sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Menurur mantan Pesuruhjaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji, YH. Profesor Dato’ Dr. Asmadi Mohamed Naim, beliau telah mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan beberapa perkara berkaitan isu tersebut.

Antara penjelasan yang diberikan adalah seperti berikut:

1. Laporan RCI tidak memutuskan bahawa zakat TH adalah tidak sah

Isu yang dibincangkan dalam Laporan RCI adalah berkaitan akad yang digunakan antara TH dan pendeposit bagi menjelaskan kedudukan Syariah serta aspek perundangan ketika itu, selain mengenal pasti penambahbaikan yang perlu dilakukan. Laporan tersebut tidak menyimpulkan bahawa zakat yang telah dibayar oleh TH adalah tidak sah atau tidak harus.

2. Isu telah dirujuk kepada autoriti Syariah

Laporan RCI mengesyorkan agar perkara tersebut dirujuk kepada Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI). Cadangan itu telah dilaksanakan melalui pembentangan oleh TH pada 24 Jun 2024.

Ini menunjukkan bahawa isu berkenaan telah ditangani melalui saluran Syariah yang berautoriti dan bukannya berdasarkan pandangan individu atau spekulasi.

3. Penilaian dibuat berdasarkan hakikat transaksi

Penelitian Syariah mendapati bahawa walaupun TH sebelum ini menggunakan istilah akad wadiah, kedudukan sebenar hubungan antara TH dan pendeposit lebih menghampiri konsep pengurus dana dan pelabur berdasarkan realiti operasi yang berlaku.

Dalam fiqh muamalat, sesuatu hukum ditentukan berdasarkan hakikat transaksi, tujuan serta kesannya, bukan semata-mata nama akad.

4. Pengiraan zakat bagi tempoh tersebut masih diterima menurut Syariah

Selepas meneliti fakta, dokumen dan realiti operasi TH, Jawatankuasa Syariah TH memutuskan bahawa pendekatan pengiraan zakat yang digunakan bagi tempoh 2016 hingga 2019 masih boleh diterima menurut Syariah berdasarkan pendekatan zakat perniagaan.

Keputusan tersebut dibuat hasil penelitian Syariah yang menyeluruh dengan mengambil kira prinsip-prinsip fiqh yang muktabar.

5. Ketidaksempurnaan akad tidak semestinya membatalkan keseluruhan hubungan Syariah

Menurut prinsip fiqh Islam, kelemahan dalam aspek pelaksanaan sesuatu akad tidak secara automatik membatalkan keseluruhan hubungan Syariahnya sekiranya hakikat transaksi masih memenuhi ciri-ciri utama akad tersebut.

6. Prinsip mengelakkan kesukaran kepada masyarakat

Dalam isu muamalat yang telah berlaku, para fuqaha mengutamakan pendekatan yang mengesahkan transaksi masyarakat selagi mempunyai asas yang sah menurut Syariah serta mengelakkan kemudaratan dan kesukaran (raf’ al-haraj).

Pendekatan ini turut menjadi antara asas pertimbangan Jawatankuasa Syariah TH dalam membuat keputusan.

7. Operasi TH kini telah diperkemas

Sejak tahun 2019, TH telah memperkemaskan struktur akad dengan menggunakan akad wakalah yang dilaksanakan secara lebih lengkap dan mematuhi keperluan Syariah serta perundangan.

Sehubungan itu, pendeposit tidak perlu bimbang terhadap kedudukan operasi TH pada masa kini.

8. Hormati keputusan institusi Syariah

Beliau turut menegaskan bahawa perbezaan pandangan dalam isu fiqh adalah perkara yang lumrah. Namun, apabila sesuatu keputusan telah dibuat melalui proses ijtihad oleh Jawatankuasa Syariah yang diberi mandat di sisi undang-undang serta dianggotai oleh pakar-pakar yang berkelayakan, keputusan tersebut sewajarnya dihormati.

Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak menyebarkan kenyataan yang boleh menimbulkan keraguan terhadap keabsahan ibadah atau kewajipan agama tanpa merujuk kepada penjelasan daripada pihak yang berautoriti.

Masyarakat dinasihatkan agar mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan tidak membuat kesimpulan berdasarkan dakwaan atau spekulasi yang tular di media sosial. Isu berkaitan pembayaran zakat TH bagi tempoh 2016–2019 telah melalui penelitian oleh pihak berautoriti serta Jawatankuasa Syariah yang berkaitan.

SUMBER:

Facebook Rasmi MUFTI Negeri Pahang:


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI