
Menurut Kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC):
Merujuk kepada laporan media berkaitan pengumpulan data telefon bimbit ( Mobile Phone Data, MPD ) daripada Penyedia Rangkaian Mudah Alih ( Mobile Network Operators, MNO ), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ingin memberikan penjelasan berhubung perkara ini serta menegaskan bahawa tiada Maklumat Pengenalan Peribadi ( Personally Identifiable Information, PII ) yang diakses, diproses atau didedahkan.
MPD digunakan secara eksklusif bagi penghasilan statistik rasmi untuk menyokong penggubalan dasar berasaskan bukti dalam dua bidang utama:
i. Sektor ICT: bagi menghasilkan statistik terperinci seperti bilangan langganan jalur lebar mudah alih aktif dan kadar penembusan di peringkat negeri, daerah, mukim, kawasan parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pihak berkuasa tempatan.
ii. Sektor Pelancongan: bagi menghasilkan penunjuk seperti bilangan pelawat dan perjalanan pelancongan domestik.
Data MPD yang diminta daripada MNO telah dinyahidentiti dan tidak mengandungi sebarang Maklumat Pengenalan Peribadi (PII). Selain itu, MNO diberi pilihan sama ada untuk:
a. Memproses data MPD dalam persekitaran selamat mereka sendiri dan mengemukakan keluaran yang telah dinyah identiti dan diagregat kepada MCMC; atau
b. Bagi MNO yang tidak mempunyai keupayaan pemprosesan dalaman, mengemukakan data yang telah dinyahidentiti kepada MCMC untuk diproses.
Dalam kedua-dua kaedah ini, tiada pelanggan individu yang dapat dikenal pasti melalui data yang dikumpul.
Penggunaan MPD sebagai sumber baharu bagi statistik kebangsaan merupakan satu hala tuju strategik yang ditetapkan oleh Kerajaan bagi memperkukuh kualiti dan ketepatan masa pengeluaran statistik untuk tujuan dasar dan perancangan. Pelaksanaan MPD ini dijalankan melalui kerjasama dengan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa ( International Telecommunication Union, ITU ) dan Jawatankuasa Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Data Besar dan Sains Data.
Sepanjang dua tahun yang lalu, pelbagai sesi libat urus menyeluruh telah dijalankan bersama semua MNO bagi memastikan persefahaman bersama berkenaan keperluan data, proses, dan langkah-langkah perlindungan privasi. Ini termasuk Bengkel Kebangsaan MPD yang telah diadakan dari 2 hingga 5 September 2024, yang turut dihadiri oleh wakil-wakil daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), ITU, Kementerian Komunikasi, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta MNO (CelcomDigi, Maxis, TM Tech, U Mobile dan YTL).
Inisiatif ini adalah sejajar dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa. Ia mencerminkan projek-projek serupa yang telah dilaksanakan di negara seperti Indonesia dan Brazil, di mana data telekomunikasi yang telah dinyahidentiti digunakan bagi mempertingkatkan statistik kebangsaan sambil memastikan privasi pengguna terus dilindungi sepenuhnya.