Pihak Polis Lewat Tiba Di Tempat Kejadian Warga Palestin Yang Ditembak?

TULAR:
1278
Sumber gambar : PDRM

PALSU:

Tular di media sosial sebuah video yang memaparkan seorang saksi berketurunan warga arab yang mendakwa kononnya pihak polis mengambil masa yang lama untuk tiba di tempat kejadian dan mangsa warga Palestin yang ditembak mungkin dapat diselamatkan.

Sumber gambar: Facebook

SEBENARNYA:

Menurut kenyataan rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM):

Pada 21 April 2018, jam lebih kurang 6.41 pagi, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur telah dimaklumkan oleh seorang lelaki melayu melalui panggilan MERS 999, bahawa seorang lelaki dipercayai mati ditembak di hadapan kondo Idaman Puteri, Jalan Meranti, Setapak. Bertindak atas makluman tersebut, sebuah kereta peronda polis telah diarahkan untuk ke tempat kejadian pada jam 6.44 pagi dan tiba di lokasi pada jam 6.49 pagi.

Siasatan awal menunjukkan bahawa pada 21 April 2018, jam lebih kurang 6.00 Pagi, seorang lelaki warganegara Palestin bernama Fadi M.R Albatsh, 35 tahun, telah ditembak mati oleh dua (2) orang lelaki tidak dikenali, yang menunggang sebuah motosikal. Mangsa bekerja sebagai pensyarah di UNIKL dan telah berkahwin serta mempunyai tiga (3) orang anak.

Insiden berlaku di laluan pejalan kaki berhampiran Kondo Idaman Puteri, berhadapan dengan SJK(C) Lee Rubber dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pembantu perubatan dari Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL). Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Selayang untuk tujuan bedah siasat.

Pihak polis turut mengesan penularan sebuah video di mana seorang lelaki berketurunan arab mendakwa berada bersama mangsa semasa kejadian. Beliau turut mendakwa kononnya pihak polis mengambil masa yang lama untuk tiba di tempat kejadian dan mangsa mungkin dapat diselamatkan jika bantuan tiba lebih awal. Hasil temuduga ke atas saksi-saksi membuktikan bahawa tidak terdapat mana-mana warga asing yang berada bersama mangsa ketika beliau ditembak dan pihak polis mengambil masa lebih kurang 10 minit sahaja untuk sampai di tempat kejadian setelah menerima laporan dari orang awam. Penularan video tersebut berpunca dari perkongsian di sebuah Facebook di mana pemilik kemudiannya mengakui bahawa beliau telah khilaf dalam membuat terjemahan ke atas dakwaan lelaki arab berkenaan berhubung jumlah panggilan yang dibuat kepada pihak polis.

Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak membuat apa jua kenyataan yang boleh menjejaskan siasatan atau menularkan sebarang berita yang tidak sahih, sehingga boleh menimbulkan kebimbangan dan kegusaran masyarakat.

SUMBER:

Laman Facebook Polis KL


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI