Tiada Organ Diambil Dari Jenazah Warga Indonesia Yang Meninggal Di Sabah

TULAR:
914

Menurut kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah:

Jabatan ingin memberikan maklum balas kepada isu warganegara Indonesia yang meninggal di negeri Sabah yang dibangkitkan dalam berita Indonesia yang disiarkan dalam YouTube pada 22 dan 23 Disember 2021.

Pesakit bernama Saidiman Hamal, 38 tahun yang berasal dari Indonesia telah dijumpai mati di atas kapal pada 1 Disember 2021 dan mayat telah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth. Bedah siasat telah dilakukan pada 7 Disember 2021 atas arahan pihak polis dan ini merupakan prosedur bagi semua kematian BID (Brought In Dead).

Pihak hospital telah dimaklumkan oleh pihak polis bahawa pesakit ini tidak mempunyai waris terdekat di Malaysia. Walau bagaimanapun, pihak polis berjaya mengesan beberapa orang yang mengaku bahawa mereka adalah saudara kepada pesakit dan mereka juga kenal dengan waris terdekat di Indonesia. Salah satu saudara tersebut telah melakukan pengecaman mayat sebelum mayat di bedah siasat.

Pegawai Perubatan Forensik yang mengendalikan bedah siasat telah menerangkan kepada saudara pesakit bahawa beberapa sampel tisu kecil dari organ akan diambil untuk dibawa ke makmal untuk menentukan punca kematian. Tiada organ pesakit yang telah diambil seperti mana yang didakwa dalam berita dan semua organ telah dikembalikan bersama mayat. Setiap sampel yang diambil adalah berukuran dalam lingkungan 1 inci x 1 inci. Pegawai perubatan tersebut juga telah menerangkan keputusan bedah siasat kepada beliau. Beliau faham dengan penerangan yang telah diberikan dan akan menyampaikan informasi tersebut kepada waris terdekat pesakit di Indonesia. Punca kematian adalah jangkitan paru-paru dengan sakit jantung (Pneumonia with ischemic heart disease).

Pihak majikan telah menguruskan untuk membawa jenazah kembali ke negara asal. Mayat pesakit telah diberikan kepada saudara pesakit dan syarikat pengurusan jenazah 3M pada 17 Disember 2021. Jenazah telah dibawa ke masjid untuk dimandikan dan dikafankan sebelum di hantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Jenazah selamat tiba di Indonesia pada 20 Disember 2021.

Jabatan ini menyuarakan rasa simpati terhadap ahli keluarga pesakit. Sehubungan dengan itu, semua urusan bedah siasat dan proses pengembalian mayat kepada ahli keluarga telah dibuat mengikut kepada garis panduan yang telah ditetapkan.

SUMBER:

Facebook Rasmi JKN Sabah
Facebook Rasmi Hospital Queen Elizabeth


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI