Waspada Situasi Kes JE Di Sarawak

TULAR:
494

WASPADA:

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa situasi kes Japanese Encephalitis (JE) di Sarawak dipantau dengan rapi di peringkat Kementerian dan Jabatan Kesihatan Negeri  Sarawak.

Sumber gambar: Google

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham, pada tahun 2018, bagi tempoh Januari sehingga 23 Jun sejumlah lima (5) kes dilaporkan di Sarawak dan kesemua kes yang dilaporkan adalah kes sporadik dan tiada wabak JE dilaporkan di negeri Sawarak. Bahagian yang terlibat adalah masing-masing satu (1) kes di Samarahan, Lawas, Julau, Miri dan Sri Aman.

JE disebabkan oleh virus flavivirus yang boleh mengakibatkan gejala ‘viral encephalitis’ dan merupakan sejenis penyakit bawaan vektor iaitu nyamuk. JE adalah endemik (penyakit yang sentiasa terdapat di kawasan tertentu) di kesemua negara di Asia termasuk Malaysia. Program Imunisasi JE diperkenalkan pada tahun 2002 di negeri Sarawak kerana kejadian kes JE di Sarawak yang tinggi, iaitu 55 kes pada tahun 1999 dengan kadar insiden 2.61 per 100,000 populasi. Dua tahun selepas program Immunisasi dilaksanakan di negeri tersebut, iaitu pada tahun 2004 jumlah kes JE dilaporkan berkurang kepada 22 kes dan selepas 16 tahun program ini dijalankan, jumlah kes JE terus berkurang kepada 10 kes pada tahun 2017.

Menurut kajian yang dilakukan oleh (Wong et al. 2008) semenjak  Program Imunisasi JE di Sarawak, kadar insiden JE bagi kumpulan kanak-kanak berumur bawah 12 tahun di Sarawak berkurang daripada 9.8 kes per 100,000 populasi kepada 4.3 kes per 100,000 populasi. Ini jelas menunjukkan kejayaan pelaksanaan program ini di negeri Sarawak. Justeru itu, KKM menyarankan agar setiap ibu bapa di Sarawak memastikan agar anak-anak mereka mendapatkan suntikan imunisasi JE pada umur 9 bulan dan 21 bulan seperti yang ditetapkan dalam jadual imunisasi.

Masyarakat setempat dinasihatkan supaya segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami tanda-tanda dan gejala JE seperti demam, sakit kepala, loya, muntah, perubahan keadaan mental, simptom neurologi, lemah dan gangguan pada pergerakan. Selain itu, amalan perlindungan diri seperti penggunaan repelen dan memakai pakaian cerah yang menutup anggota dapat mengurangkan risiko digigit nyamuk dan seterusnya jangkitan JE.

SUMBER:

Kementerian Kesihatan


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI