
Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan Tinggi:
Kenyataan Dong Zong bertarikh 15 Mei 2026 yang mendakwa kerajaan gagal mencerminkan keadilan pendidikan terhadap pelajar UEC adalah tersasar dan tidak bertanggungjawab.
Kerajaan hari ini mengambil pendekatan yang seimbang, inklusif dan bertanggungjawab dalam memastikan akses pendidikan tinggi dapat diperluaskan tanpa mengorbankan asas Dasar Pendidikan Kebangsaan serta Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Dalam sebuah negara berdaulat, sistem pendidikan bukan sekadar soal akademik semata-mata. la turut melibatkan pembinaan identiti nasional, pengukuhan perpaduan, pemerkasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta kefahaman terhadap sejarah dan kenegaraan Malaysia.
Atas sebab itu, kerajaan tidak boleh mengubah asas sistem nasional semata-mata untuk memenuhi tuntutan mana-mana aliran pendidikan tertentu. Sebaliknya, mana-mana aliran pendidikan yang mahu mendapat akses lebih luas ke institusi awam perlu menunjukkan kesediaan untuk bergerak dalam kerangka nasional negara ini.
Dalam hal ini, kerajaan perlu mempertahankan prinsip dan dasar nasional yang telah sekian lama menjadi asas perpaduan serta identiti negara,
Langkah Kerajaan memberi laluan kepada calon UEC memohon ke IPTA bagi kursus tertentu dalam bidang Bahasa dan Kesusasteraan Cina dengan syarat mereka mengambil serta mendapat kepujian dalam subjek Bahasa Melayu dan lulus dalam subjek Sejarah SPM bukan suatu yang kabur, tidak adil dan kecacatan sistemik seperti didakwa Dong Zong. Sebaliknya ia adalah satu pendekatan yang inklusif dan bertanggungjawab dalam menghormati kerangka Dasar Pendidikan Kebangsaan. Dalam hubungan ini ketegasan terhadap Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Sejarah sebagai asas kenegaraan tidak dikompromi. Prinsip ini mesti dilaksanakan secara konsisten dan tidak boleh berubah hanya kerana tekanan politik atau tuntutan mana-mana pihak.
Sebenarnya, isu yang lebih besar ialah bagaimana negara membina titik temu nasional dalam masyarakat majmuk. Pendidikan tidak boleh terus dilihat daripada sudut tuntutan kelompok tertentu atau identiti sempit semata-mata. Masa depan Malaysia memerlukan satu asas bersama yang mampu menghubungkan rakyat melalui Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, pemahaman terhadap sejarah negara serta semangat kenegaraan yang sama.
Dong Zong juga perlu memahami bahawa universiti awam ialah institusi nasional yang tertakluk kepada dasar negara. Oleh itu, kerajaan berhak menetapkan syarat tertentu demi menjaga standard pendidikan, keharmonian sistem dan kepentingan jangka panjang negara.
Kerajaan kekal komited untuk memastikan pendidikan tinggi negara terus bersifat inklusif, adil dan berkualiti. Namun, inklusif tidak bermaksud kerajaan perlu mengorbankan dasar asas negara. Keterbukaan juga tidak bermaksud negara perlu mengabaikan prinsip nasional yang menjadi tunjang pembinaan Malaysia sejak merdeka.
SUMBER:






