Makluman: Ekonomi Malaysia Berkembang 5.4% Pada Suku Pertama 2026, Melangkaui Jangkaan Dalama Ketidaktentuan Global

TULAR:
4

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MOF):

Ekonomi Malaysia telah melangkaui jangkaan bagi dua suku berturut-turut dengan pertumbuhan sebanyak 5.4% pada Suku Pertama (S1) 2026, walaupun ketidaktentuan global yang semakin meningkat akibat konflik di Asia Barat. Momentum yang mampan ini mencerminkan disiplin fiskal dan kecekapan tatakelola Kerajaan meskipun berdepan dengan ketidakstabilan global yang berterusan.

Kedua-dua anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan unjuran median Bloomberg sebelum ini mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia bagi S1 2026 pada 5.3%.

Permintaan domestik dan sektor luaran kekal berdaya tahan pada S1 2026. Permintaan domestik berkembang sebanyak 5.2% disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang stabil hasil daripada pasaran buruh yang kukuh dan pendapatan boleh guna yang lebih tinggi susulan pelaksanaan fasa kedua Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), Bantuan Khas Kewangan (BKK) untuk penjawat awam serta bantuan berterusan melalui Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Pelaburan dalam teknologi kecerdasan buatan (Al) dan pusat data kekal teguh, didorong oleh dasar yang memudah cara serta persekitaran pelaburan yang kondusif.

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, berkata tumpuan Kerajaan terhadap reformasi Ekonomi , yang berteraskan dasar mesra pertumbuhan, program berpaksikan rakyat serta pengurusan fiskal yang bertanggungjawab, terus memperkukuh momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Pendekatan ini membolehkan Malaysia mengekalkan momentum pertumbuhan daripada 5.2% pada tahun 2024 dan 2025, sebelum meningkat kepada 5.4% pada suku pertama 2026. Pada masa yang sama, pengurusan fiskal yang bertanggungjawab membolehkan Kerajaan mengurangkan dampak kenaikan harga bahan api global terhadap rakyat dan perniagaan melalui langkah seperti BUDI MADANI RON95 (BUD195) serta bantuan yang dipertingkat di bawah BUDI Diesel, di samping terus menyokong perbelanjaan isi rumah dan pertumbuhan ekonomi,” ujar YAB Dato’ Seri Anwar.

“Penciptaan pekerjaan yang berterusan telah menurunkan kadar pengangguran kepada 2.9%, yakni paras terendah dalam tempoh sedekad, manakala inflasi kekal sederhana pada kadar 1.6% sepanjang suku tersebut. Perkembangan ini telah membantu menyokong permintaan domestik yang berdaya tahan,” tambah beliau.

Pengukuhan berterusan nilai ringgit sebagai antara mata wang berprestasi terbaik di Asia di samping prestasi Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI yang lebih kukuh serta aliran masuk bersih pelaburan langsung asing berjumlah RM22.8 bilion pada S1 2026 mencerminkan keyakinan pelabur yang semakin meningkat terhadap ekonomi Malaysia.

Kerajaan Mempertingkat Kesiapsiagaan Dalam Berdepan Risiko Gangguan Rantaian Bekalan Global

Meskipun Ekonomi MADANI telah melaksanakan reformasi yang sekian lama tertangguh dalam pengurusan fiskal dan ekonomi Malaysia, namun Kerajaan tetap berwaspada terhadap impak konflik di Asia Barat terhadap permintaan global, rantaian bekalan dan kestabilan pasaran.

Konflik yang berpanjangan di Asia Barat boleh meningkatkan risiko gangguan berterusan terhadap rantaian bekalan global, terutamanya melalui kenaikan kos tenaga, logistik dan input pengeluaran. Sekiranya berlanjutan, tekanan ini boleh menyumbang kepada inflasi yang lebih tinggi serta menjejaskan permintaan domestik, meningkatkan kos operasi perniagaan dan seterusnya memperlahankan momentum pertumbuhan ekonomi negara.

Justeru, Kerajaan telah menubuhkan satu pasukan petugas pengurusan krisis di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara untuk memantau perkembangan dengan rapi serta menyelaras tindak balas dalam masa nyata (real-time) terhadap risiko baharu.

Sehingga 14 Mei 2026, Kerajaan telah menyediakan sokongan pembiayaan sebanyak RM15 bilion untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui pembiayaan mikro, pinjaman perniagaan dan jaminan.

Pelarasan subsidi bahan api bersasar, bersama sokongan berterusan menerusi BUD195 serta bantuan yang dipertingkat di bawah BUDI Diesel, bertujuan mengurangkan kesan kenaikan harga tenaga global terhadap isi rumah dan perniagaan yang layak, di samping menyokong kestabilan ekonomi secara keseluruhan.

Langkah-langkah ini juga dijangka dapat meningkatkan kecekapan subsidi, mengawal peningkatan kos fiskal serta terus mengurangkan ketirisan melalui penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap aktiviti penyeludupan.

“Keutamaan segera kita adalah untuk memastikan kestabilan ekonomi dan mengurangkan sebaiknya dampak luaran daripada krisis ini terhadap rakyat. Pada masa yang sama, Kerajaan  kekal komited untuk meneruskan reformasi Ekonomi MADANI sambil memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada hasil yang nyata buat rakyat,” kata YAB Dato’ Seri Anwar.

SUMBER:

Facebook Rasmi MOF


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI