
Menurut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN):
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengambil maklum mengenai hantaran yang tular di media sosial yang memaparkan kehadiran individu warga asing di premis JPN dan mengaitkannya dengan urusan membuat kad pengenalan.
Untuk makluman, kehadiran seseorang di premis JPN tidak semestinya bermaksud individu tersebut sedang memohon atau akan diberikan MyKad. JPN menyediakan pelbagai perkhidmatan berkaitan pendaftaran dan dokumentasi yang turut melibatkan individu bukan warganegara, bergantung kepada jenis urusan yang dijalankan.
JPN sebelum ini turut memberikan penjelasan berhubung isu yang hampir sama, khususnya mengenai kekeliruan yang mengaitkan pendaftaran kelahiran individu bukan warganegara dengan pemberian kewarganegaraan Malaysia.
Sebagai penjelasan, sijil kelahiran berwarna merah jambu merupakan bukti bahawa sesuatu kelahiran telah didaftarkan di Malaysia dan bukan bukti bahawa individu berkenaan merupakan warganegara Malaysia. Sijil kelahiran turut dikeluarkan kepada individu berstatus bukan warganegara, termasuk mereka yang tidak memenuhi syarat untuk memperoleh kewarganegaraan Malaysia.
Setiap kelahiran yang berlaku di Malaysia perlu didaftarkan tanpa mengira status kewarganegaraan ibu atau bapa. Pendaftaran ini penting bagi memastikan setiap kelahiran direkodkan secara rasmi dan tidak bermaksud kewarganegaraan Malaysia diberikan secara automatik kepada individu berkenaan.
Selain pendaftaran kelahiran, terdapat pelbagai urusan lain di JPN yang melibatkan bukan warganegara, termasuk pendaftaran perkahwinan sivil dengan pasangan bukan warganegara serta urusan dokumentasi dan pendaftaran lain yang berkaitan.
Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat kesimpulan hanya berdasarkan kehadiran seseorang di premis JPN atau berdasarkan sekeping gambar dan video tanpa mengetahui urusan sebenar yang sedang dijalankan.
SUMBER:






