
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MOF):
Meskipun mendepani kejutan bekalan global yang telah menjejaskan ekonomi dunia, Malaysia terus mencatat prestasi luar jangka bagi tiga suku berturut-turut dan berkembang sebanyak 6.0% pada suku kedua tahun 2026 (S2 2026) berbanding 5.4% direkodkan pada suku sebelumnya.
Permintaan domestik yang berdaya tahan dan sektor luar negeri yang rancak memacu pertumbuhan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) untuk melepasi anggaran awal oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan unjuran median Bloomberg sebanyak 5.8%. Prestasi ini merupakan yang paling kukuh bagi suku kedua di luar tempoh pandemik sejak 2014.
Pencapaian S2 2026 telah menjadikan pertumbuhan separuh pertama tahun 2026 sebanyak 5.7%, sekali gus meletakkan ekonomi Malaysia pada landasan yang kukuh untuk mencapai unjuran pertumbuhan oleh Kerajaan iaitu antara 4.0% hingga 5.0% bagi tahun 2026.
Penggunaan swasta berkembang sebanyak 4.8% didorong oleh perbelanjaan yang lebih tinggi bagi restoran & hotel, pengangkutan serta makanan & minuman berikutan sambutan perayaan, cuti sekolah pertengahan tahun dan aktiviti berkaitan pelancongan yang berterusan. Pelaburan swasta dan awam juga kekal berkembang disokong oleh pelaburan berterusan dalam sektor teknologi dan pelaksanaan infrastruktur utama di seluruh negara.
Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, berkata reformasi di bawah kerangka Ekonomi MADANI serta langkah proaktif Kerajaan telah membantu mengurangkan kesan gangguan bekalan global terhadap rakyat, di samping menyokong penggunaan dan pertumbuhan ekonomi.
“Apakala krisis Asia Barat menggugat rantaian bekalan dan ekonomi dunia, Kerajaan telah mengambil langkah serta-merta untuk melindungi rakyat dan perniagaan. Antaranya termasuk menyediakan pembiayaan kepada PKS yang terjejas serta mengekalkan subsidi bahan api secara bersasar agar rakyat dan perniagaan terlindung daripada tempias kejutan ekonomi dari luar. Ikhtiar ini membantu mengekalkan perbelanjaan isi rumah, merancakkan kegiatan perniagaan serta mempertahankan momentum pertumbuhan pada S2 2026,” kata beliau.
“Kendatipun gangguan rantaian bekalan telah meningkatkan tekanan harga di seluruh dunia, inflasi Malaysia kekal terkawal pada 1.9% pada S2 2026. Pada masa yang sama, bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta subsidi bersasar menerusi BUDI MADANI terus disalurkan bagi mengurangkan beban rakyat, khususnya golongan yang paling terkesan dek kenaikan kos sara hidup,” tambah YAB Dato’ Seri Anwar.
Pasaran buruh Malaysia kekal menyokong permintaan domestik sepanjang suku tersebut dengan guna tenaga meningkat sebanyak 1.1% kepada 16.8 juta orang manakala kadar pengangguran direkodkan sebanyak 3.0%.
Sektor luar negeri turut merekodkan prestasi kukuh disokong oleh permintaan yang tinggi bagi produk elektrik dan elektronik (E&E) serta produk petroleum. Jumlah dagangan meningkat sebanyak 34.1% kepada RM1 trilion pada suku tersebut manakala lebihan dagangan melonjak lebih lima kali ganda kepada RM84 bilion.
Seiring dengan perkembangan tersebut, aktiviti perindustrian turut mengukuh dengan Indeks Pengeluaran Perindustrian meningkat sebanyak 7.7% pada suku kedua disokong oleh pertumbuhan pengeluaran yang lebih tinggi dalam sektor pembuatan, perlombongan dan elektrik.
Meneruskan agenda reformasi demi memperkukuh pertumbuhan mampan
Walaupun momentum pertumbuhan Malaysia kekal berdaya tahan, namun Kerajaan sentiasa menyedari bahawa limpahan manfaat daripada pertumbuhan ekonomi ini tidak dirasai secara sama rata oleh semua isi rumah dan perniagaan. Ketidaktentuan geopolitik yang berterusan, gangguan rantaian bekalan global, peningkatan harga input dan makanan serta tekanan pekerjaan dalam sektor tertentu terus menjadi risiko utama kepada kesejahteraan isi rumah dan aktiviti perniagaan.
“Malaysia tidak terkecuali daripada kesan pergolakan ekonomi dunia. Sungguhpun kita menyambut baik angka pertumbuhan yang memberangsangkan, kita tidak boleh alpa bahawasanya masih ramai rakyat yang bergelut dengan kos sara hidup, manakala sebahagian pekerja dan perniagaan berdepan keadaan yang sukar,” kata YAB Dato’ Seri Anwar.
“Hatta, Kerajaan bukan sekadar mengejar angka pertumbuhan yang tinggi. Kekayaan dan kemajuan negara mesti dimanfaatkan untuk mengangkat harkat rakyat melalui pendapatan yang lebih bermakna, peluang pekerjaan yang bermutu serta bantuan kepada golongan rentan. Inilah ikhtiar yang akan terus dilaksanakan oleh Kerajaan,” tambah beliau.
Pada masa yang sama, Malaysia kekal berada pada kedudukan yang strategik untuk meraih manfaat daripada permintaan global yang berterusan terhadap produk E&E, kitaran menaik teknologi global, peningkatan penggunaan kecerdasan buatan (Al) serta pendigitalan yang berterusan. Pelaburan mampan dalam teknologi, pusat data dan infrastruktur utama dijangka akan menyokong kapasiti produktif dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti tinggi.
Kerajaan akan terus komited melaksanakan agenda reformasi di bawah Ekonomi MADANI. Disiplin fiskal kekal menjadi keutamaan Kerajaan yang sedang berusaha ke arah mencapai sasaran fiskal jangka masa sederhana yang ditetapkan di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 termasuk mengurangkan defisit fiskal kepada 3% atau lebih rendah dalam jangka masa sederhana.
SUMBER:






