
Menurut kenyataan Kementerian Ekonomi:
Ekonomi Malaysia terus mencatatkan prestasi kukuh apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berkembang 6.0% pada suku kedua 2026, berbanding 5.4% pada suku pertama. Prestasi ini menjadikan pertumbuhan ekonomi bagi separuh pertama 2026 sebanyak 5.7%, lebih tinggi berbanding 4.5% dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Pertumbuhan disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, prestasi eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang menggalakkan serta pertumbuhan sektor perkhidmatan dan pembuatan. Pasaran buruh kekal berdaya tahan, manakala tekanan harga masih terkawal dengan inflasi pada kadar 1.9% pada suku kedua 2026.
Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah berkata, “Pertumbuhan 6.0% pada suku kedua menunjukkan ekonomi Malaysia terus mempunyai momentum yang kukuh walaupun berdepan persekitaran global yang mencabar. Namun, kejayaan ekonomi tidak boleh diukur melalui angka pertumbuhan semata-mata. Yang lebih penting ialah peluang pekerjaan yang lebih baik, peningkatan pendapatan dan kuasa beli rakyat.”
Prestasi ini dicapai dalam keadaan ekonomi global yang terus berdepan ketidaktentuan, termasuk kesan ketegangan geopolitik di Asia Barat terhadap harga tenaga, kos logistik dan rantaian bekalan. Struktur ekonomi Malaysia yang pelbagai dan kekuatan permintaan domestik terus menjadi penampan kepada tekanan luaran.
Kerajaan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan terus memantau perkembangan ekonomi dan mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kesan perkembangan luar terhadap rakyat dan perniagaan dapat ditangani dengan berkesan. “Tumpuan MTEN fokus kepada empat langkah utama, iaitu menjamin bekalan, memanjangkan tempoh bekalan, mengekang kenaikan harga dan memanfaatkan peluang ekonomi. Keutamaan adalah untuk memastikan bekalan kekal mencukupi, harga terkawal dan aktiviti perniagaan dapat diteruskan, di samping memanfaatkan peluang baharu daripada perubahan ekonomi dan rantaian bekalan global.” kata Menteri Ekonomi.
Bagi memperkukuh daya tahan ekonomi, Kerajaan akan terus mempelbagaikan sumber bekalan strategik, memperkukuh hubungan perdagangan dan meningkatkan keupayaan industri domestik. Kerjasama dengan rakan dagang utama termasuk Australia, China dan Jepun turut diperkukuh bagi mengurangkan risiko gangguan rantaian bekalan.
Bagi separuh kedua 2026, pertumbuhan ekonomi dijangka terus disokong oleh permintaan domestik, pasaran buruh yang stabil, perbelanjaan isi rumah, aktiviti pelancongan serta permintaan global terhadap produk E&E. Kerajaan kekal memberi perhatian kepada risiko luaran dan akan memastikan dasar serta langkah intervensi dilaksanakan secara bersasar.
Dalam jangka sederhana dan panjang, pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) akan terus dipercepat dengan tumpuan kepada peningkatan produktiviti, pelaburan berkualiti tinggi, pembangunan bakat dan kepelbagaian sumber pertumbuhan. Matlamat Kerajaan adalah untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan dan berdaya tahan, serta manfaatnya dapat diterjemahkan kepada pendapatan, peluang ekonomi dan kesejahteraan rakyat yang lebih baik.
SUMBER:
Facebook Rasmi Kementerian Ekonomi






