Kejadian Kluster Pneumonia Di Wuhan, Republik Rakyat China Berpunca Daripada Jangkitan SARS?

TULAR:
802
Sumber gambar: hippocrates.media

PENJELASAN:

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperjelaskan berkenaan kejadian kluster radang paru-paru (pneumonia) di Wuhan, Republik Rakyat China, yang didakwa kononnya jangkitan influenza, avian flu adenovirus, Middle East Respiratory Syndrome coronavirus (MERS-CoV) ataupun Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS) merebak di republik tersebut.

Sumber gambar: Facebook

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM):

Pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah melaporkan secara rasmi pada 5 Januari 2020 tentang satu kejadian kluster radang paru-paru (pneumonia) melibatkan masyarakat setempat di Wuhan yang terletak di Wilayah Hubei, Republik Rakyat China. Kejadian kluster ini telah mula dikesan dan telah dilaporkan oleh pihak berkuasa Republik Rakyat China kepada WHO China Country Office pada 31 Disember 2019.

Punca jangkitan masih di dalam siasatan walau bagaimanapun pihak berkuasa Republik Rakyat China telah mengesahkan jangkitan tersebut bukanlah jangkitan influenza, avian flu, adenovirus, Middle East Respiratory Syndrome coronavirus (MERS-CoV) ataupun Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS). Pihak WHO memaklumkan bahawa insiden ini sedang dipantau rapi namun buat masa ini pihak WHO tidak mengeluarkan sebarang larangan lawatan dan perdagangan dengan Republik Rakyat China.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius mengenai  kejadian kluster radang paru-paru (pneumonia) yang berlaku di Wuhan, Republik Rakyat China ini dan sentiasa memantau kejadian ini dari semasa ke semasa. Antara langkah-langkah kesiapsiagaan yang dilaksanakan bagi menghadapi potensi penularan penyakit ini adalah:

  1. Pemakluman berkaitan kejadian kluster ini dan langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi kepada anggota KKM di semua peringkat termasuk Pintu Masuk Antarabangsa Negara;
  2. Memberi penekanan dan memperkukuhkan aktiviti saringan demam sedia ada dalam kalangan pengembara oleh anggota-anggota yang bertugas di Pintu Masuk Antarabangsa Negara;
  3. Sekiranya mengesan mana-mana pengembara yang demam dan bergejala, pemeriksaan akan dilakukan semula di pusat kuarantin kesihatan atau tempat pemeriksaan yang terletak di Pintu Masuk Antarabangsa Negara;
  4. Saringan pesakit di Klinik Kesihatan dan Jabatan Kecemasan hospital diperkukuhkan bagi memastikan kes-kes yang disyaki akan dirujuk dan dikendalikan dengan mematuhi langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi;
  5. Sekiranya terdapat kes yang disyaki, individu tersebut akan dirujuk ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan lanjut;
  6. Menggunakan tatacara sedia ada bagi proses pelaporan / notifikasi segera melalui saluran yang telah dikenalpasti kepada pihak Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri dan Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) KKM sekiranya terdapat kes disyaki yang dikesan dari mana-mana fasiliti kesihatan;
  7. Penggunaan personal protective equipment (PPE) bagi semua anggota kesihatan yang terlibat perlu diberikan penekanan dan simpanan stok (stockpile) bagi PPE dan ubat-ubatan bagi menghadapi wabak perlu dipastikan mencukupi untuk menampung keperluan di fasilti kesihatan masing-masing;
  8. Memperkukuhkan aktiviti survelan bagi kes influenza-like illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (sARI) di semua lokasi sentinel yang telah dikenalpasti, termasuk pemantauan berterusan kejadian kluster ILI di dalam komuniti. Begitu juga, memantau sebarang kejadian luar biasa membabitkan kemasukan pesakit ILI ke ICU mahupun kematian yang melibatkan pesakit sedemikian; dan
  9. KKM akan sentiasa bekerjasama rapat dengan semua agensi yang berkaitan secara berterusan bagi memperkukuhkan aktiviti kesiapsiagaan dan respons KKM bagi menghadapi potensi penularan jangkitan dalam Malaysia.

KKM akan terus memantau situasi kejadian penyakit ini dan sebarang perkembangan daripada pihak WHO akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Buat masa ini, tiada sebarang laporan diterima oleh CPRC KKM mengenai kes bergejala dengan sejarah perjalanan ke Wuhan.

SUMBER:

Laman Rasmi KP Kesihatan


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI