Keracunan Alkohol Di Sekitar Kuala Lumpur Dan Selangor?

TULAR:
727

PENJELASAN:

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperjelaskan kejadian disyaki keracunan alkohol di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Sumber gambar: Facebook

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataannya berkata:

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai kejadian disyaki keracunan metanol sekitar Kuala Lumpur dan Negeri Selangor. Sehingga pukul 5 petang 18 September 2018, KKM telah menerima notifikasi bagi 51 kes keracunan metanol dari negeri Selangor (45 kes) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (6 kes). Daripada jumlah tersebut, sebanyak 3 orang adalah warganegara Malaysia dan 48 orang adalah bukan warganegara Malaysia (daripada negara Myanmar, Nepal, Bangladesh dan India). Setakat daripada jumlah tersebut juga, sejumlah 19 orang telah meninggal dunia, 14 pesakit dalam keadaan kritikal, 9 pesakit dimasukkan ke wad untuk rawatan dan pemerhatian, dan 9 orang pesakit dibenarkan pulang setelah menjalani rawatan. Jumlah kes dijangkakan mungkin meningkat apabila lebih ramai pesakit datang mendapatkan rawatan bagi kes keracunan metanol.

Kesemua mereka mempunyai sejarah pengambilan minuman beralkohol jenis sebatian minuman keras (compounded hard liquor). Kesemua mereka telah menunjukkan tanda-tanda dan gejala keracunan metanol seperti sakit perut, loya, muntah, sakit kepala, kabur penglihatan dan ada yang mengalami sesak nafas, kekejangan dan tidak sedarkan diri. Tanda-tanda dan gejala awal keracunan dialami satu (1) atau dua (2) hari selepas tarikh akhir meminum minuman tersebut. Ujian makmal seperti ujian darah, air kencing telah diambil dari pesakit dan dihantar ke makmal forensik Hospital Sungai Buloh untuk dianalisa. Selain dari itu, KKM telah memaklumkan kepada semua fasiliti kesihatan untuk kesiapsiagaan rawatan kes-kes sekiranya mereka hadir di klinik dan hospital dengan tanda dan gejala keracunan metanol.

Hasil siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Pejabat Kesihatan Daerah yang terlibat mendapati kesemua pesakit yang terlibat telah membeli minuman sebatian keras di premis-premis di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Sampel minuman alkohol yang diambil semasa siasatan kes dan pemeriksaan premis-premis jualan telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh (MKAK) untuk ujian analisa kandungan minuman.

KKM ingin menasihatkan masyarakat agar menjauhi daripada mengambil sebarang minuman beralkohol yang mungkin mengandungi metanol yang mendatangkan masalah kesihatan dengan tanda-tanda dan gejala seperti sesak nafas, sakit perut, loya atau muntah, cirit-birit, pening atau sakit kepala yang teruk, kabur penglihatan dan kekejangan serta boleh mengakibatkan maut.

SUMBER:

Laman Rasmi Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Facebook PDRM


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI