Lambakan Sayur Tidak Bermutu Kerana Kelemahan Penguatkuasaan Produk Import?

TULAR:
1021

PENJELASAN :

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperjelaskan dakwaan bahawa terdapat longgokan sayur yang kurang bermutu berikutan kelemahan penguatkuasaan terhadap import produk makanan dari negara lain, sepertimana yang hangat diperkatakan.

Sumber gambar: Facebook.

Menurut kenyataan rasmi dari Ketua Pengarah Kesihatan:

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum artikel oleh Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bertajuk “Strategi Jamin Bekalan Makanan” yang disiarkan pada 5 September 2018 dalam akhbar Utusan Malaysia yang merujuk kepada laporan akhbar bertarikh 23 Ogos 2018 yang melaporkan kebimbangan longgokan sayur yang kurang bermutu berikutan kelemahan penguatkuasaan terhadap import produk makanan dari negara lain.

KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan bertanggungjawab untuk memastikan produk makanan di pasaran tempatan dan diimport mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya. Peraturan-Peraturan Makanan 1985 telah menetapkan kadar maksimum residu racun perosak (maximum residue limits, MRLs) bagi komoditi makanan termasuk sayur-sayuran dan buah-buahan.

Hasil pemantauan KKM dari tahun 2017 sehingga Jun 2018, sebanyak 5144 sampel sayur-sayuran dan buah-buahan telah diambil di pasaran tempatan dan di pintu masuk negara bagi yang diimport untuk dianalisis. Hasil analisis mendapati hanya sebanyak 97 (1.9%) sampel dikesan mengandungi residu racun perosak melebihi kadar maksimum yang dibenarkan. Daripada jumlah ini, sebanyak 526 adalah sampel cili segar di mana sebanyak 9 (1.7%) sampel tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan tindakan penguatkuasaan telah dijalankan.

Di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 telah menetapkan bahawa mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

KKM akan meningkatkan pemantauan ke atas sayur-sayuran termasuk cili dan buah-buahan import di pintu masuk negara dan di pasaran tempatan bagi memastikan pematuhan ke atas Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

 

SUMBER :

Ketua Pengarah Kesihatan


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI