Makluman: CFS Johor Perkukuh Pemuliharaan Hutan Negara

TULAR:
1

Menurut Kementerian Sumber asli dan Kelestarian Alam (NRES):

Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan
Negeri Johor (JPNJ) telah menganjurkan Eksplorasi Biodiversiti di Rangkaian Ekologi Central
Forest Spine (CFS) Hutan Simpan Lenggor dan Hutan Simpan Mersing, Johor bermula 18
hingga 22 Mei 2026 sebagai langkah strategik memperkukuh usaha pemeliharaan dan
pemuliharaan biodiversiti negara.


Majlis perasmian pembukaan eksplorasi tersebut telah disempurnakan oleh YB. Tuan Syed
Ibrahim bin Syed Noh, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang menegaskan
komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan kelestarian khazanah hutan negara melalui
pelaksanaan Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine 2022 (PIRECFS 2022).


Eksplorasi biodiversiti ini merupakan penganjuran julung kali di bawah inisiatif PIRECFS 2022
untuk mengumpulkan data saintifik berkaitan status semasa kesihatan hutan serta taburan
biodiversiti flora dan fauna di kawasan RE CFS di Semenanjung Malaysia.


Pendekatan ini sekaligus dapat membantu pihak jabatan memahami kefungsian dan
ketersambungan koridor hutan melalui pemantauan biodiversiti secara komprehensif. Program
ini turut membantu usaha pemeliharaan habitat serta pengurusan bersepadu sumber
biodiversiti negara secara lebih sistematik dan mampan.


Program ini melibatkan penyertaan seramai 120 peserta terdiri daripada penyelidik, institusi
pengajian tinggi, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pakar pelbagai disiplin
termasuk bidang ekologi, flora, fauna, geologi, sosio ekonomi, bioinformatik dan kecerdasan
buatan. Penglibatan rentas sektor ini mencerminkan pendekatan bersepadu yang melibatkan
keseluruhan jentera kerajaan, masyarakat dan negara dalam agenda pemuliharaan
biodiversiti negara.


Melalui eksplorasi ini, data saintifik berkaitan status semasa biodiversiti flora dan fauna yang
terdapat di Rangkaian Ekologi CFS khususnya di Hutan Simpan Lenggor dan Hutan Simpan
Mersing akan dikumpulkan bagi memperkukuh perancangan serta pelaksanaan inventori
biodiversiti secara sistematik pada masa hadapan.

Majlis turut menyaksikan pemeteraian Surat Hasrat (LoI) antara Jabatan Perhutanan Negeri
Johor dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia bagi pembangunan Living Lab Central Forest
Spine Kluang dan Mersing, Johor. Kerjasama strategik ini dijangka memperkukuh
penyelidikan, pendidikan, inovasi serta pembangunan kapasiti berkaitan pemuliharaan
biodiversiti negara.

Pada masa sama, Program Sahabat CFS turut diperkenalkan sebagai platform strategik
memperkukuh penglibatan komuniti setempat dalam usaha menjaga, memantau dan
melindungi kawasan rangkaian ekologi daripada ancaman seperti pencerobohan hutan,
pemburuan haram dan konflik hidupan liar.

JPSM akan terus memperkukuhkan pelaksanaan PIRECFS 2022 melalui kerjasama erat
bersama kerajaan negeri, jabatan dan agensi berkaitan, institusi akademik, pihak swasta,
NGO serta komuniti tempatan bagi memastikan khazanah biodiversiti negara terus terpelihara
demi kesejahteraan generasi masa hadapan.

SUMBER:

Facebook Rasmi NRES

X Rasmi NRES


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI