
Menurut Kementerian Perumaah dan Kerajaan Tempatan (KPKT):
Malaysia terus memperkukuh komitmen dalam agenda pembangunan bandar mampan global apabila melancarkan Asia Pacific Urban Agenda Platform (AP-UAP) sempena World Urban Forum 13 (WUF13) di Baku, Azerbaijan.
Pelancaran ini menjadi satu lagi pencapaian penting negara dalam memperkasa kerjasama serantau ke arah pembangunan bandar yang lebih inklusif, mampan dan berdaya tahan.
AP-UAP yang dibangunkan melalui kerjasama strategik antara Malaysia dan UN-Habitat berfungsi sebagai platform untuk menyatukan usaha negara-negara Asia Pasifik dalam mempercepat pelaksanaan New Urban Agenda (NUA) serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Inisiatif ini melibatkan 58 negara di rantau Asia Pasifik dengan pendekatan yang lebih tersusun, kolektif dan berorientasikan tindakan.
Majlis pelancaran di Pavilion Malaysia turut menyaksikan pengenalan penerbitan khas Think City bertajuk “Housing the Poor: Malaysia’s Journey from Slums to Resilient Communities” yang mengetengahkan perjalanan lebih lima dekad Malaysia dalam memperkasa sektor perumahan rakyat, pembangunan komuniti serta usaha membina bandar yang lebih mesra rakyat dan inklusif.
Kejayaan Malaysia meningkatkan kadar pemilikan rumah kepada 77% turut menjadi antara sorotan utama.
Dalam ucapan sempena WUF13, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Presiden UN-Habitat, YB Nga Kor Ming menegaskan bahawa cabaran global seperti krisis perumahan, urbanisasi pesat, perubahan iklim dan ketidaksamaan sosial memerlukan tindakan bersama yang lebih agresif dan terselaras di peringkat antarabangsa. Malaysia juga menyeru agar agenda “Human-Centred Urbanism” terus diperkasa demi masa depan bandar yang lebih selamat dan lestari.
Penyertaan Malaysia di WUF13 mencerminkan peranan aktif negara dalam memperjuangkan agenda pembangunan bandar mampan di pentas dunia, selaras aspirasi Malaysia MADANI.
Forum antarabangsa yang menghimpunkan lebih 30,000 peserta dari 180 negara ini menjadi platform penting untuk pertukaran idea, perkongsian amalan terbaik dan pengukuhan kerjasama global dalam menangani cabaran urbanisasi masa depan
SUMBER:






