Makluman: Siasatan Insiden Gangguan Perkhidmatan Laluan Kelana Jaya

TULAR:
2

Menurut Rapid KL:

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail), selaku pengendali Laluan Kelana Jaya ingin memaklumkan bahawa siasatan awal berhubung insiden gangguan perkhidmatan Laluan Kelana Jaya yang berlaku pada 18 Mei 2026 telah dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Hasil dapatan awal menunjukkan bahawa insiden tersebut berpunca daripada penutup Linear Induction Motor (LIM) pada tren bernombor 92 yang rosak ketika berada di platform Stesen Kelana Jaya. Ini telah mengakibatkan tren tersebut tidak dapat bergerak, sekaligus menjejaskan jadual serta kelancaran operasi. Sekiranya tren tersebut digerakkan, ia akan mengakibatkan kesan yang lebih serius seperti kerosakan pada sistem persinyalan (signalling) dan Platform Intrusion Emergency Stop (PIES) yang terletak di landasan.

Untuk makluman, sistem PIES adalah sistem keselamatan landasan rel yang direka untuk mengesan objek atau penumpang yang terjatuh ke atas landasan. Ia dipasang di stesen perkhidmatan rel seperti Laluan Kelana Jaya bagi mengelakkan kemalangan.

Sebagai langkah segera, pasukan kejuruteraan Rapid Rail telah mengambil tindakan segera termasuk pemeriksaan menyeluruh armada (fleet-wide check) bagi memastikan LIM berada dalam tahap optimum dan selamat.

Pada masa yang sama, pihak Rapid Rail sedang menjalankan siasatan root cause analysis secara menyeluruh. Hasil siasatan ini akan menjadi asas kepada pelaksanaan langkah mitigasi jangka panjang, termasuk penambahbaikan sistem serta prosedur operasi.

Pihak Rapid Rail sekali lagi memohon maaf kepada semua penumpang yang terkesan akibat gangguan ini dan menzahirkan penghargaan atas kesabaran serta pemahaman orang awam.

Kami kekal komited untuk memastikan keselamatan, kebolehpercayaan dan kelancaran perkhidmatan pengangkutan awam rel sentiasa menjadi keutamaan.

SUMBER:

Facebook Rasmi Rapid KL


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI