
Menurut kenyataan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM):
JIM mengambil maklum satu hantaran tular di media sosial berhubung pengalaman seorang pemohon semasa berurusan di Pejabat Imigresen Cawangan UTC Pudu Sentral.
Susulan hantaran tersebut, Jabatan telah membuat semakan dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV), rekod berkaitan serta mendapatkan keterangan daripada pegawai yang bertugas ketika kejadian. Hasil semakan mendapati terdapat beberapa dakwaan dalam hantaran berkenaan yang tidak selaras dengan rakaman CCTV, rekod berkaitan serta keterangan yang diperoleh Jabatan.
Jabatan memandang serius perkara ini bagi memastikan keadaan sebenar dapat diperjelaskan berdasarkan fakta yang diperoleh. Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat untuk tindakan selanjutnya dan JIM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
JIM menghormati hak setiap individu untuk menyuarakan pandangan, berkongsi pengalaman atau mengemukakan aduan berhubung perkhidmatan Jabatan. Dalam hal ini, perkongsian maklumat yang tepat dan menyeluruh amat penting bagi memastikan sesuatu perkara dapat dinilai secara adil serta mengelakkan sebarang salah faham.
JIM kekal komited untuk memastikan setiap aduan ditangani secara telus, profesional dan tanpa prejudis kepada mana-mana pihak, di samping terus memberikan perkhidmatan yang berhemah, berintegriti dan mengutamakan kepentingan masyarakat.
SUMBER:






