Makluman: Kesiapsiagaan Amaran Gempa Bumi

TULAR:
7

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia):

Gempa bumi merupakan fenomena alam yang berlaku akibat pergerakan secara tiba-tiba pada permukaan bumi, termasuk pergerakan batuan di sepanjang garis sesar atau sempadan plat tektonik. Sehingga kini, gempa bumi tidak dapat diramal dengan tepat. Oleh itu, kesiapsiagaan dan pemantauan berterusan amat penting bagi mengurangkan risiko kepada keselamatan orang awam.

Bagi memastikan sebarang aktiviti seismik dapat dikesan dan maklumat berkaitan dapat disampaikan dengan pantas, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) melaksanakan pemantauan melalui Sistem Amaran Awal Gempa Bumi dan Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM) secara berterusan.

MET Malaysia sentiasa memantau aktiviti seismik serta perubahan paras laut bagi mengenal pasti perkembangan yang boleh membawa kepada ancaman gempa bumi atau tsunami.

Antara infrastruktur pemantauan yang digunakan termasuk:

  • 80 stesen seismik
  • 25 tolok pasang surut
  • 83 siren tsunami

Peralatan pemantauan dan sistem amaran ini diselenggara serta diuji secara berkala bagi memastikan tahap kebolehpercayaan dan kesiapsiagaan sentiasa berada pada tahap optimum.

MET Malaysia turut menjalankan ujian siren tsunami secara berkala, iaitu empat kali setahun di setiap lokasi pemasangan. Sekiranya merasai gegaran atau menerima maklumat berkaitan gempa bumi dan tsunami, orang awam disarankan untuk:

1. Kekal tenang
Elakkan panik dan ikuti langkah keselamatan yang disarankan oleh pihak berkuasa.

2. Dapatkan maklumat daripada sumber rasmi
Semak perkembangan terkini melalui saluran rasmi MET Malaysia seperti laman sesawang rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial rasmi.

3. Jangan sebarkan maklumat yang tidak disahkan
Elakkan berkongsi mesej, gambar, video atau dakwaan yang belum disahkan kerana maklumat tidak tepat boleh menimbulkan kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat. MET Malaysia turut mengingatkan orang awam supaya mendapatkan maklumat gempa bumi dan tsunami daripada saluran rasmi.

Penting untuk difahami bahawa tidak semua gempa bumi akan menghasilkan tsunami. Menurut MET Malaysia, tsunami lazimnya berkait dengan gempa bumi tektonik tertentu yang berlaku di kawasan laut atau berhampiran laut dan melibatkan perubahan dasar laut.

Oleh itu, orang awam tidak perlu membuat andaian atau menyebarkan amaran tsunami berdasarkan maklumat yang tidak disahkan. Sebaliknya, tunggu pengumuman dan arahan rasmi daripada pihak berkuasa.

SUMBER:

Facebook Rasmi MET


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI