
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM):
KKM mengambil maklum dan menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini berhubung kes semakan kehakiman berkaitan aspek prosedural dalam perintah pengecualian cecair atau gel nikotin daripada Senarai Racun di bawah Akta Racun 1952.
Keputusan mahkamah ini mencerminkan sistem semak dan imbang yang sihat serta membuktikan bahawa rakyat, pertubuhan masyarakat sivil (NGO), dan pihak berkepentingan amat prihatin terhadap polisi perlindungan kesihatan awam. KKM menegaskan bahawa pihak Kementerian dan NGO berkongsi satu matlamat akhir yang sama, iaitu demi melindungi keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia.
Susulan keputusan tersebut, KKM akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam masa terdekat bagi memperhalusi segala aspek perundangan, meneliti ruang tindakan undang-undang seterusnya, serta menetapkan langkah susulan yang sewajarnya.
KKM kekal komited untuk terus memperkukuh agenda kawalan tembakau dan produk merokok melalui pemantauan berterusan di bawah Akta 852 demi melindungi kesihatan rakyat, khususnya golongan kanak-kanak dan generasi muda.
Perkembangan serta tindakan lanjut mengenai perkara ini akan dimaklumkan secara rasmi selepas proses konsultasi bersama pihak AGC dimuktamadkan dalam masa terdekat.
SUMBER:
Facebook Rasmi KKM






