Makluman: WHA79 Dari Resolusi Kepada Tindakan, Menterjemah Reformasi Kesihatan Madani Untuk Impak Global

TULAR:
7

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan (MOF):

Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, berlepas ke Geneva, Switzerland hari ini bagi mengetuai delegasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-79 (WHA79) yang berlangsung dari 18 hingga 23 Mei 2026. WHA merupakan acara tahunan yang dihadiri oleh Menteri-Menteri Kesihatan, pegawai kanan kesihatan, dan penggubal dasar dari negara-negara anggota Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Penyertaan kali ini menandakan fasa baharu diplomasi kesihatan negara yang beralih daripada sekadar pengiktirafan kepada penterjemahan polisi kepada tindakan yang membawa hasil nyata terus kepada rakyat. Kemuncak misi ini adalah penyampaian Kenyataan Negara pada 19 Mei, di mana Malaysia akan menekankan reformasi kesihatan yang berpaksikan kesejahteraan rakyat dan akses bantuan kemanusiaan global tanpa gangguan.

Kepimpinan intelektual Malaysia di persada global akan dizahirkan melalui penyampaian 18 intervensi strategik merangkumi isu kritikal seperti eliminasi malaria, kesihatan mental, penyakit tidak berjangkit (NCD), dan ekonomi kesihatan. YB Menteri turut diberi penghormatan untuk menyampaikan ucaptama di enam (6) forum antarabangsa berprestij, antaranya melibatkan inisiatif kesihatan paru-paru, kesihatan mata, sains tingkah laku, hepatitis, dan penyakit jarang jumpa di peringkat global.

Di peringkat serantau, Malaysia memacu cadangan Deklarasi ASEAN mengenai Penyakit Jarang Jumpa agar pesakit dan kanak-kanak mendapat diagnosis awal dan rawatan pakar yang lebih saksama. Selain itu, kepimpinan negara diperkukuh melalui pelancaran National Blueprint for Behavioural Sciences bagi memperkukuhkan Strategi “Perang” Terhadap ‘5S’ (gula, asap, garam, stigma, dan gaya hidup sedentari) sebagai teras pencegahan penyakit tidak berjangkit (NCD) dan pengukuhan kesihatan mental di Malaysia.

Misi diplomatik ini turut diperkukuh melalui pertemuan dua hala strategik dengan Sepanyol untuk mengadaptasi sistem pendermaan organ terbaik dunia, serta pertemuan dua hala dengan Singapura, Vietnam, dan Bangladesh bagi membincangkan inisiatif kesihatan digital dan keselamatan kesihatan serantau.

Kejayaan Malaysia dalam memastikan akses ubat-ubatan kritikal yang mampu milik turut mendapat pengiktirafan antarabangsa melalui pemilihan negara sebagai model kajian kes global oleh pertubuhan Medicines Patent Pool (MPP), sekaligus membuktikan keberkesanan sistem penyampaian kesihatan negara di mata dunia. Segala pencapaian ini adalah penzahiran komitmen KKM di bawah kerangka Malaysia MADANI untuk membina sistem kesihatan yang lebih saksama, moden, dan inklusif demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

SUMBER:

Facebook Rasmi MOF


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI