
Menurut Majlis Keselematan Negara (MKN):
Sidang Majlis Keselamatan Negara Khas yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri pada 9 Julai 2026 telah menzahirkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk memastikan usaha memperkukuh kedaulatan dan daya tahan identiti rakyat dilaksanakan secara proaktif, menyeluruh dan berteraskan inovasi yang bersesuaian selaras dengan cabaran landskap digital semasa.
Pertumbuhan ekonomi digital yang kini menyumbang 25 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bukan sahaja didorong oleh pembangunan infrastruktur dan teknologi, malah disumbangkan oleh tahap kepercayaan dan keyakinan rakyat, komuniti perniagaan dan pelabur terhadap keselamatan identiti rakyat. Justeru, inisiatif MyDigital ID dan pemerkasaan MyKad dibangunkan berteraskan prinsip security-by-design bagi memastikan ekosistem identiti rakyat diyakini dan berdaya tahan.
Selaras dengan komitmen tersebut, Agensi Keselamatan Siber Negara, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri terus memperkukuh keselamatan siber negara dalam aspek identiti rakyat dengan pendekatan Whole-of-Government (WoG) melalui kerjasama erat bersama Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Digital, MIMOS Berhad dan agensi-agensi keselamatan yang lain.
Bagi mencapai hasrat kedaulatan ekosistem identiti rakyat, pembangunan dan penambahbaikan teknologi perlu dilaksanakan berasaskan keupayaan tempatan. Pendekatan ini akan mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi luar dalam aspek strategik terutamanya yang melibatkan identiti rakyat.
Dalam hal ini dan selaras dengan sambutan Bulan Keselamatan Negara, Dasar Kriptografi Negara (MyKrypto) dan Pelan Tindakan MyKriptografi 2026–2030 telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri di Sidang Kemuncak Keselamatan Siber Kebangsaan 2026. Teknologi kriptografi menjadi asas kepada pengukuhan ekosistem identiti rakyat yang berdaulat dan berdaya tahan. Perkara-perkara ini juga ditekankan oleh YAB Perdana Menteri dalam ucapan beliau semasa melancarkan Bulan Keselamatan Negara pada hari yang sama.
SUMBER:





