Penjelasan Mengenai Projek Pembangunan Tanah Perkuburan Awam Wilayah Persekutuan di Hulu Semenyih

TULAR:
4

Menurut Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI):

Tular dakwaan di media sosial yang mendakwa urusan pengebumian jenazah umat Islam di Wilayah Persekutuan akan diswastakan susulan pelaksanaan projek pembangunan Tanah Perkuburan Awam Wilayah Persekutuan di Lot PT3458, Mukim Hulu Semenyih, Selangor. Dakwaan tersebut adalah tidak tepat.

Menurut Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), projek berkenaan merupakan inisiatif Kerajaan MADANI bagi mengatasi isu kekurangan tanah perkuburan umat Islam di Wilayah Persekutuan yang semakin terhad. Projek ini dilaksanakan melalui kaedah pertukaran tanah antara Route Edge Sdn. Bhd. dan Kerajaan MADANI. Selain pembangunan tanah perkuburan awam, projek ini turut melibatkan pembinaan jalan pintas sepanjang 4.34 kilometer yang menghubungkan Sungai Lalang ke Lebuhraya SILK.

Tapak perkuburan yang dibangunkan berkonsepkan Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS) dan dijangka mampu menyediakan sehingga 104,000 lot kubur, sekali gus memenuhi keperluan pengebumian untuk tempoh kira-kira 28 tahun. Pembangunan tersebut turut merangkumi penyediaan kemudahan seperti pejabat pentadbiran, surau, ruang pengurusan jenazah, kuarters, pondok pengawal dan infrastruktur berkaitan.

JAWI turut menjelaskan bahawa apabila projek ini siap dijangka pada tahun 2029, pengurusan dan operasi tanah perkuburan akan diserahkan sepenuhnya kepada JAWI. Agensi itu akan bertanggungjawab menguruskan semua urusan pengebumian, penyelenggaraan tanah perkuburan serta pengurusan jenazah sebagaimana yang dilaksanakan di lapan Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS) sedia ada di Wilayah Persekutuan.

Sehubungan itu, JAWI menegaskan bahawa tiada cadangan untuk menswastakan urusan pengebumian jenazah umat Islam di Wilayah Persekutuan. Tanah yang terlibat juga kekal sebagai Tanah Perkuburan Awam di bawah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dengan keluasan 222.68 ekar.

Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih atau mengelirukan sehingga boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

SUMBER:

Facebook Rasmi JAWI

Instagram Rasmi JAWI

X Rasmi JAWI


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI