
Menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA):
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Majlis Penganugerahan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) Tahun 2026 yang berlangsung di Istana Negara hari ini.
Pada majlis tersebut, Seri Paduka Baginda telah berkenan mengurniakan biasiswa kepada 14 penerima cemerlang, terdiri daripada tujuh (7) penerima di peringkat Doktor Falsafah (Ph.D.) dan tujuh (7) penerima di peringkat Sarjana (Penyelidikan).
Daripada jumlah tersebut, empat (4) penerima akan melanjutkan pengajian di universiti terkemuka luar negara, manakala 10 penerima akan meneruskan pengajian di universiti penyelidikan tempatan.
Menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, YBhg. Tan Sri Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz, Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) merupakan inisiatif penting Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam membangunkan modal insan berprestasi tinggi melalui pelaksanaan program penajaan yang responsif terhadap keperluan strategik negara dan sektor awam.
Beliau berkata, penerima biasiswa dipilih berdasarkan kecemerlangan akademik serta potensi kepimpinan dan sumbangan kepada pembangunan negara. Program ini bertujuan memastikan Malaysia terus melahirkan pakar bertaraf global dalam bidang-bidang strategik yang menyokong agenda pembangunan negara, sekali gus meningkatkan produktiviti dan daya saing di peringkat antarabangsa.
Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA), atau King’s Scholarship, diperkenalkan pada tahun 2006 sebagai penghargaan kepada warganegara Malaysia yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik, malah turut aktif dalam kegiatan kokurikulum, kemasyarakatan serta menghasilkan karya berunsurkan kreativiti dan inovasi.
Bagi tahun 2026, penerima biasiswa melibatkan pelbagai bidang strategik seperti pemakanan, farmakologi dan farmasi, matematik dan statistik, biologi, katalisis, imunologi, genetik dan herediti, biokimia, persekitaran serta sains veterinar.
SUMBER:






