PDRM Tidak Kompaun RM1,000 2 Kanak-Kanak Berbasikal Kerana Tidak Patuh SOP PKP

TULAR:
13699

Polis menafikan dakwaan pegawainya mengeluarkan kompaun RM1,000 terhadap dua kanak-kanak yang berbasikal kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Surat kompaun yang tular di media sosial beberapa hari lalu juga tidak ada kaitan dengan dua kanak-kanak terbabit.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, kompaun itu sebenarnya membabitkan individu tidak memakai pelitup muka dan tiada penjarakan sosial pada 18 Januari.

“Jika kita lihat gambar yang tular itu, polis bersama dua kanak-kanak menaiki basikal itu adalah isu yang berlainan dan gambar itu ialah ketika pegawai polis membuat rondaan pencegahan jenayah di kawasan taman perumahan dan permainan.

“Tiada kena mengena isu pihak polis kompaun kanak-kanak itu atau penjaganya,” katanya.

Azizan berkata, perkara itu dimanipulasi oleh beberapa pihak tidak bertanggungjawab dengan cuba memberikan gambaran bahawa polis mengambil tindakan tidak mengira siapa, sensitiviti serta tiada pendekatan budi bicara dalam mengambil tindakan semasa menangani isu Covid-19.

Tegas Azizan, orang ramai diingatkan memastikan kesahihan sebelum menyebarkan berita yang tidak sahih.

“Orang awam boleh merujuk bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat atau mana-mana balai polis sekiranya ingin mendapatkan pengesahan sesuatu berita yang tidak sahih. Operasi bilik gerakan dan balai-balai polis kita beroperasi 24 jam,” katanya.

SUMBER:

Facebook Rasmi Polis Daerah Kuala Langat
Sinar Harian


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI