Penganjuran Aktiviti Pelaburan Wang Kutu Akan Dikenakan Denda Dan Penjara?

TULAR:
804

PENJELASAN:

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memperjelaskan lebih terperinci berhubung larangan aktiviti pelaburan wang kutu, yang membawa kepada denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan untuk tempoh tidak melebihi sepuluh tahun.

Sumber gambar: WhatsApp

Menurut kenyataan rasmi SSM:

Mana-mana entiti syarikat atau perniagaan di luar sana tidak dibenarkan sama sekali menganjurkan sebarang aktiviti berbentuk skim wang kutu.

Perkara tersebut jelas dinyatakan di bawah Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 yang melarang mana-mana syarikat yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 2016 (atau dahulunya Akta Syarikat 1965) atau perniagaan berdaftar di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956, menjalankan aktiviti perniagaan berkenaan.

Jika didapati bersalah, penganjur boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan untuk tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali.

Walau bagaimanapun, skim wang kutu tradisional yang biasanya dianjurkan atas dasar kemasyarakatan dan kepercayaan dalam kalangan jiran tetangga, sahabat handai, saudara-mara atau rakan kerja bagi tujuan mengumpulkan wang mengikut keperluan masing-masing tanpa sebarang keuntungan bagi mana-mana individu , tidak termasuk dalam Akta ini. Ini kerana skim wang kutu tradisional hanya memberikan kembali jumlah yang disumbang mengikut giliran yang ditetapkan.

SSM ingin menegaskan bahawa aktiviti wang kutu yang mendatangkan hasil yang berlipatganda berbanding sumbangan yang diberikan termasuk apa-apa pulangan tambahan selain daripada wang sumbangan asal adalah termasuk dalam aktiviti yang dilarang dan tidak terkecuali dari Akta ini.

SUMBER:

Facebook Rasmi SSM


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI