Pengharaman Penyedut Minuman Plastik Berkuatkuasa Terhadap Pemegang Lesen Peniaga Dan Pengusaha Di Wilayah Persekutuan?

TULAR:
3578

PENJELASAN:

Kementerian Wilayah Persekutuan memperjelaskan laporan berhubung pengharaman penyedut minuman plastik yang akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2019 di Wilayah Persekutuan Wilayah Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Sumber gambar: Facebook

Menurut kenyataan rasmi Kementerian Wilayah:

Inisiatif untuk mengehadkan penggunaan produk-produk plastik konvensional yang berasaskan hidrokarbon telah diperkenalkan sejak 2016 dan telah dikuatkuasakan mulai 1 September 2017.

Bagi meluaskan inisiatif ini, straw plastik konvensional telah dimasukkan sebagai salah satu produk yang dikelaskan di bawah produk yang mempunyai kesan negatif pada alam sekitar.

Oleh itu, Kementerian Wilayah telah mengambil inisiatif untuk memasukkan larangan penggunaan straw plastik konvensional di dalam syarat-syarat lesen mulai 1 Januari 2019 supaya ia boleh dikuatkuasakan kelak. Namun, penguatkuasaan ini akan ditujukan hanya terhadap peniaga dan pengusaha kedai makan yang merupakan pemegang lesen dan bukan terhadap rakyat jelata. Pada masa yang sama, straw yang bukan daripada jenis plastik konvensional akan turut disediakan sebagai alternatif.

Penguatkuasaan penuh larangan penggunaan straw plastik konvensional hanya akan dikuatkuaskan pada 1 Januari 2020. Kempen-kempen kesedaran berhubung kesan negatif penggunaan straw plastik konvensional ini akan dilaksanakan sepanjang tahun 2019 sehingga penguatkuasaan dilaksanakan pada 1 Januari 2020.

Kementerian Wilayah juga maklum mengenai keperluan golongan kurang upaya dan pesakit yang memerlukan straw dan bahan-bahan plastik dalam kehidupan harian mereka. Oleh itu, mereka akan dikecualikan daripada sebarang tindakan.

Straw daripada bahan-bahan biodegradasi ataupun kertas boleh digunakan sebagai pengganti kepada straw plastik konvensional.

SUMBER:

Facebook Rasmi Kementerian Wilayah

Utusan


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI