Pengumuman Tarikh Pilihan Raya Umum Ke-14

TULAR:
8053

PENJELASAN:

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memperjelaskan laporan bahawa Pilihan Raya Umum ke-14 akan diadakan pada 9 Mei 2018.

Sumber gambar: WhatsApp

Menurut kenyataan SPR:

SPR telah menerima Perisytiharan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong berhubung pembubaran Parlimen Penggal Ke -13 pada 7 April 2018 dan diikuti oleh pemakluman rasmi oleh Speaker Dewan Rakyat berhubung dengan Pembubaran Parlimen Penggal Ke-13 serta Speaker-Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi semua Negeri dan DUN-DUN bagi semua Negeri.

Sehubungan dengan itu, SPR telah mengadakan Mesyuarat Khas berkaitannya dan menetapkan bahawa satu Pilihan Raya Umum Ke-14 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Pembubaran Parlimen Ke-13. Bagi maksud menjalankan Pilihan Raya Umum Ke-14 ini, SPR telah menetapkan tarikh-tarikh seperti yang berikut:

TARIKH KELUAR WRIT : 11 APRIL 2018 (RABU)

HARI PENAMAAN CALON : 28 APRIL 2018 (SABTU)

HARI MENGUNDI AWAL : 5 MEI 2018 (SABTU)

HARI MENGUNDI : 9 MEI 2018 (RABU)

Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 11 hari, bermula pada hari Penamaan Calon sehingga pukul 11.59 malam 8 Mei 2018.

Daftar Pemilih Pilihan Raya akan mula dijual pada 16 APRIL 2018. Para pengundi boleh membuat semakan Daftar Pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi dan saluran mengundi mereka melalui Laman Web SPR (www.spr.gov.my) atau melalui aplikasi MYSPR SEMAK atau telefon ke talian 03-88927018 atau melalui SMS 15888 juga mulai 16 APRIL 2018.

Pada PRU-14 ini juga, SPR telah menjemput 14 buah negara sebagai Pemerhati Antarabangsa yang terdiri daripada Badan Pengurusan Pilihan Raya dari Negara-Negara anggota ASEAN, KOMANWEL, ASIA dan EROPAH serta sebuah pusat kajian  dan sokongan kepada badan pengurusan pilihan raya yang berpangkalan di Cambridge, United Kingdom iaitu Malaysian Commonwealth Studies Centre (MCSC). SPR juga turut melantik 14 buah NGO dan Wakil Universiti sebagai pemerhati tempatan untuk menjalankan pemerhatian ke atas penjalanan proses PRU14 ini bermula dari hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan.

Pemerhati Antarabangsa dan Pemerhati Tempatan dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di dalam pusat penamaan calon, pusat mengundi awal, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan proses penjumlahan undi di pusat penjumlahan rasmi undi. Dalam hal ini SPR tidak mengiktiraf mana-mana organisasi dan individu lain selain yang dilantik oleh SPR untuk memantau dan memerhati proses PRU-14 ini.

SUMBER:

Facebook PRU 14 (SPR)


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI