Penjelasan Dakwaan Seorang Ketua Jururawat Di Selangor Meninggal Dunia Akibat Daripada Suntikan Vaksin

TULAR:
2915
Menurut kenyataan media Pengarah Kesihatan Negeri Selangor:

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor ingin merujuk kepada video yang tular di media sosial pada 22 Oktober 2021 berkenaan insiden seorang Ketua Jururawat di Negeri Selangor yang meninggal dunia akibat daripada suntikan vaksin COVID-19.

Ketua Jururawat tersebut merupakan seorang pesakit barah yang masih dalam tempoh cuti sakit barah selama dua tahun.

Beliau telah ditawarkan untuk mengambil vaksin COVID-19 pada 17 Februari 2021 namun pesakit menolak dengan alasan risau dengan kesan sampingan vaksin tersebut. Walau bagaimanapun, beliau kemudiannya telah mendaftar dalam MySejahtera serta telah memberi kebenaran secara sukarela dalam borang kebenaran mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 dan telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 jenama COMINARTY keluaran Pfizer-BioNTech pada 23 Julai 2021. Beliau telah mengalami gejala demam 12 hari selepas mengambil vaksin namun beliau tidak mendapatkan rawatan untuk gejala tersebut.

Beliau mengalami kesukaran bernafas di rumah kediaman beliau dan dibawa oleh ambulan ke hospital pada 7 Ogos 2021 iaitu 16 hari selepas suntikan vaksin. Setibanya di hospital, beliau dirawat sebagai pesakit suspek COVID-19 Kategori 5. Keputusan ujian RTK Antigen beliau kemudian didapati positif. Pesakit telah dirawat di Unit Rawatan Rapi dan memerlukan bantuan pernafasan. Namun, keadaan pesakit semakin merosot dan disahkan meninggal dunia pada 14 Ogos 2021. Saringan kontak rapat terdapat dua ahli keluarga turut disahkan positif COVID-19.

Pihak hospital mengesahkan pesakit meninggal dunia disebabkan oleh penyakit COVID-19 dan bukannya akibat kesan sampingan vaksinasi COVID-19.

SUMBER:

Facebook Rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Selangor


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI