
Menurut Kementerian Ekonomi (KE):
Tular kebimbangan dalam kalangan masyarakat berhubung kenaikan harga tenaga global susulan ketidaktentuan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan. Susulan itu, Kerajaan menjelaskan bahawa bekalan tenaga negara kekal stabil dan mencukupi, serta pelbagai langkah sedang dilaksanakan bagi memastikan keselamatan bekalan tenaga untuk rakyat dan sektor ekonomi.
Menurut Kementerian Ekonomi, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 14/2026 telah memberi tumpuan kepada tiga perkara utama yang mempunyai kesan langsung kepada rakyat dan ekonomi negara, iaitu keterjaminan makanan, keselamatan domestik dan sempadan, serta daya tahan sektor pembuatan dalam menghadapi tekanan rantaian bekalan global.
Walaupun berlaku peningkatan harga tenaga di pasaran antarabangsa, bekalan tenaga negara masih berada pada tahap yang stabil. Harga minyak mentah Brent meningkat kepada AS$73.94 setong (naik 5.9%), manakala harga gas asli cecair (LNG) mencecah AS$17.31/MMBtu (naik 7.9%). Harga arang batu pula kekal stabil pada AS$128.86 satu tan, manakala permintaan puncak elektrik meningkat kepada 20,832 megawatt, iaitu peningkatan sebanyak 2.5%. Kenaikan harga tenaga ini didorong oleh kebimbangan terhadap keselamatan pelayaran dan risiko gangguan bekalan melalui Selat Hormuz.
Bagi memastikan bekalan tenaga negara terus terjamin sehingga Disember 2026, Kerajaan telah mengambil beberapa langkah termasuk mempelbagaikan sumber import, mengoptimumkan pengeluaran bahan api domestik, serta memperkukuh perjanjian bekalan jangka panjang. Langkah-langkah ini bertujuan memastikan bekalan petroleum negara kekal stabil dan mencukupi meskipun pasaran tenaga global terus berdepan ketidaktentuan.
Kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa dan mengambil pendekatan berasaskan data, selain mendapatkan pandangan daripada rakyat serta pihak industri dalam merangka penyelesaian yang praktikal dan berimpak. Orang ramai dinasihatkan supaya merujuk kepada saluran rasmi kerajaan bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak sahih atau mengelirukan.
SUMBER:






