Produk Pemutihan Kulit Dan Suntikan Vitamin C Dalam Talian Selamat Untuk Digunakan?

TULAR:
1040

PENJELASAN :

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperjelaskan berhubung isu penjualan produk pemutihan kulit dan suntikan Vitamin C dalam talian sepertimana yang dilaporkan media.

Sumber gambar : NSTP

Menurut kenyataan rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia :

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum terhadap artikel bertajuk “Cucuk-cucuk terus putih” seperti yang dilaporkan oleh akhbar Harian Metro bertarikh 20 Julai 2018 mengenai individu yang mempromosikan penjualan pemutihan kulit membabitkan produk gel pengelupasan dan suntikan pemutihan Vitamin C secara dalam talian.

KKM memandang serius tentang penjualan produk pemutihan kulit dan suntikan Vitamin C yang dijual secara dalam talian sama ada melalui media sosial seperti Facebook dan Instagram. Di sini perlu ditegaskan bahawa  Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), KKM tidak pernah mendaftarkan produk suntikan yang mengandungi Vitamin C. Produk yang digunakan secara suntikan tidak boleh dikelaskan sebagai produk kosmetik memandangkan cara penggunaan produk berkenaan adalah di luar skop takrifan kosmetik. Sehubungan dengan itu KKM tidak dapat mengesahkan atau menjamin aspek keselamatan dan kesahihan tuntutan produk tersebut.

Dakwaan di dalam artikel akhbar terbabit bahawa perkhidmatan suntikan ditawarkan oleh doktor dan jururawat di ‘klinik panel’ kepada pelanggan juga dipandang berat oleh pihak KKM. Untuk makluman, semua fasiliti jagaan kesihatan swasta termasuk klinik perubatan swasta perlu berdaftar di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586]. Klinik perubatan swasta didaftarkan dengan maksud menyediakan perkhidmatan alopatik (amalan perubatan moden berdasarkan bukti saintifik) yang diiktiraf oleh Kementerian dan disediakan oleh profesional jagaan kesihatan yang berkelayakan, terlatih dan berpengalaman. Klinik-klinik perubatan swasta juga boleh didaftarkan dengan area of interest  seperti bidang estetik di mana Orang yang Bertanggungjawab bagi klinik tersebut perlu mempunyai Letter of Credentialing(LCP) serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Lanjutan itu, sebarang amalan untuk menyediakan perkhidmatan dan/atau menjalankan prosedur perubatan yang tidak diiktiraf oleh Kementerian tidak wajar dilakukan di klinik-klinik perubatan swasta kerana perbuatan tersebut adalah di luar maksud klinik tersebut didaftarkan, selaras dengan Seksyen 39, Akta 586. Malah, amalan tersebut juga bertentangan dengan etika dan profesionalisme seorang pengamal perubatan yang digariskan dalam Code of Professional Conduct yang dikeluarkan oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

Sehubungan itu, orang ramai disarankan supaya mendapatkan rawatan yang diiktiraf di klinik-klinik perubatan swasta yang berdaftar dan mengelakkan daripada menggunakan produk yang tidak berdaftar yang boleh membawa implikasi kesihatan yang memudaratkan. Orang ramai digalakkan untuk mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my.

SUMBER : 

Laman Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI