SPR Tidak Telus Dalam Menjalankan Proses PRU Atau PRK?

TULAR:
733

PENJELASAN:

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memperjelaskan dakwaaan bahawa SPR tidak telus dalam menjalankan proses Pilihan Raya sama ada Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Kecil (PRK).

Sumber gambar : Facebook

Menurut kenyataan SPR:

SPR ingin menjelaskan berhubung tuduhan yang mengatakan bahawa SPR tidak telus dalam menjalankan proses Pilihan Raya sama ada Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Kecil (PRK) adalah tidak benar. Dalam mengendalikan mana-mana urusan pilihan raya di Malaysia ianya bukanlah dilaksanakan secara bersendirian oleh SPR tetapi ia dikendalikan secara bersama antara SPR, rakyat Malaysia khususnya para pengundi dan juga semua calon atau parti-parti politik yang bertanding dalam pilihan raya.

Justeru itu, jika mana-mana pihak menuduh SPR melakukan penipuan semasa pilihan raya bermakna mereka sebenarnya
menuduh rakyat Malaysia dan petugas-petugas parti politik itu sendiri kerana mereka itulah yang berada di barisan hadapan semasa Pilihan Raya Umum atau Pilihan Raya Kecil diadakan khususnya dalam proses pengundian, pengiraan undi dan penjumlahan undi.

Bagi tujuan memperlihatkan ketelusan proses pilihan raya yang dijalankan, SPR turut menjemput badan-badan pengurusan pilihan raya sebagai pemerhati antarabangsa dari 13 buah Negara seperti Negara anggota Asean, Komanwel, Asia dan lain-lain Negara termasuk Malaysian Commonwealth Studies Centre (MCSC) iaitu sebuah pusat kajian dan sokongan kepada badan pengurusan pilihan raya yang berpangkalan di Cambridge, United Kingdom untuk memerhati serta memberi maklum balas tentang penjalanan proses PRU14 nanti. SPR juga melantik pemerhati tempatan yang terdiri daripada Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan wakil-wakil Universiti bagi memerhati penjalanan proses PRU14.

Sebagai sebuah badan bebas dan berkecuali yang melaksanakan pilihan raya dengan telus dan adil, SPR amat berharap rakyat Malaysia memberi kepercayaan dan keyakinan sepenuhnya terhadap SPR dan semua petugas pilihan raya yang terdiri daripada orang awam serta pengundi itu sendiri dalam menjalankan tanggungjawab menegakkan amalan demokrasi di negara ini.

SUMBER:

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI