Susu Rumusan Bayi Buatan Malaysia Yang Ditarik Balik Dari Singapura Dijual Di Malaysia?

TULAR:
1617

PENJELASAN :

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperjelaskan laporan bahawa susu rumusan bayi jenama Dumex Mamil Gold-Step 1 buatan Malaysia yang dilaporkan ditarik balik dari pasaran Singapura dijual dalam pasaran Malaysia sepertimana yang dilaporkan media.

Sumber gambar : AVA

Menurut kenyataan rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia :

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai isu penarikan balik susu rumusan bayi jenama Dumex Mamil Gold-Step 1 buatan Malaysia dari pasaran Singapura di laman sesawang Agri-Food & Veterinary Authority (AVA) bertarikh 20 Ogos 2018. Laporan tersebut menyatakan pihak Agri-Food & Veterinary Authority (AVA) telah mengarahkan produk susu rumusan bayi jenama Dumex Mamil Gold-Step 1  ditarik balik dari pasaran di Singapura kerana dikesan tercemar dengan bakteria Cronobacter sakazakii. Produk susu rumusan bayi yang terlibat mempunyai berat bersih 850g setiap tin, nombor batch 09117R1 dan tarikh luput pada 11 September 2019.

Bakteria Cronobacter sakazakii terdapat secara meluas di persekitaran yang boleh hidup dalam keadaan kering seperti susu formula bayi. Jangkitan Cronobacter jarang berlaku, namun bakteria ini boleh membawa maut kepada bayi baru lahir kerana ia menyebabkan meningitis atau sepsis. Simptom yang ditunjukkan oleh bayi seperti demam, tiada selera makan atau kelesuan.

Hasil siasatan KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan mendapati produk susu rumusan bayi jenama Dumex Mamil Gold-Step 1 hanya untuk pasaran eksport ke Singapura dan tidak dijual di pasaran tempatan.

KKM ingin juga menegaskan bahawa sebarang susu rumusan bayi untuk jualan perlu mematuhi Peraturan 389, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983. Hasil pemantauan KKM dari tahun 2015 sehingga kini, sejumlah 129 sampel telah diambil dan didapati tiada bakteria Cronobacter sakazakii dikesan dalam produk susu rumusan bayi. KKM akan terus meningkatkan pemantauan ke atas produk susu rumusan bayi di pasaran tempatan bagi memastikan pematuhan ke atas Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Di bawah subseksyen 13(1), Akta Makanan 1983, menyatakan mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM 100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

SUMBER : 

Laman Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI