Kematian Dan Gejala Penyakit Di Lokap Berpusat IPD Shah Alam?

TULAR:
1282

PENJELASAN:

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperjelaskan laporan berhubung kes kematian serta gejala penyakit yang berlaku di lokap berpusat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Sumber gambar: Facebook

Menurut kenyataan rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM):

KKM ingin memaklumkan berkaitan satu (1) kes kematian yang berlaku di Lokap Berpusat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam yang dilaporkan di beberapa akhbar bertarikh 18 April 2018. Ia melibatkan seorang lelaki dewasa, berumur 38 tahun yang merupakan seorang yang ditahan di lokap tersebut sejak 29 Mac 2018. Pada masa yang sama, terdapat juga 10 kes yang turut mengadu tidak sihat dengan pelbagai gejala di lokap berpusat ini.

Dimaklumkan, mendiang telah mempunyai sejarah demam, sakit perut, cirit-birit dan kurang selera makan sejak 4 hari yang lepas.  Pada 17 April 2018 sebelah malam, beliau tiba-tiba tidak sedarkan diri dan segera dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Shah Alam (HSAS). Semasa pemeriksaan oleh Pegawai Perubatan di Jabatan Kecemasan HSAS, beliau didapati telah meninggal dunia. Sebab kematian belum diketahui, sedang menunggu hasil laporan bedah siasat yang dilakukan di HSAS.

Semasa siasatan dijalankan, didapati terdapat juga 10 kes lain di lokap berpusat IPD Shah Alam yang mengadu tidak sihat dengan pelbagai gejala.  Sembilan (9) kes mempunyai gejala ringan seperti batuk dan selsema, manakala satu (1) kes mempunyai gejala sakit perut dan cirit-birit.  Sebanyak tujuh (7) kes telah diberikan rawatan semasa di Lokap berpusat IPD Shah Alam oleh pasukan perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR), manakala tiga (3) kes pula telah dirujuk ke Jabatan Kecemasan HSAS untuk rawatan dan seterusnya dibenarkan pulang.

Pasukan kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor sedang giat mejalankan aktiviti pencegahan dan kawalan di Lokap Berpusat IPD Shah Alam seperti berikut;

  1. Aktiviti penyahjangkitan (disinfection) melibatkan kawasan persekitaran sel dan lokap;
  2. Pengasingan di antara kes-kes yang bergejala daripada orang yang sihat sehingga kesemua mereka sembuh;
  3. Aktiviti pemantauan kesihatan harian terhadap anggota kerja IPD Shah Alam dan orang yang ditahan. Sekiranya didapati tidak sihat mereka akan dirujuk ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan dan rawatan;
  4. Aktiviti pendidikan kesihatan berkaitan amalan pencegahan dan kawalan jangkitan dalam kalangan anggota kerja IPD Shah Alam dan orang yang ditahan turut diperkukuhkan;
  5. Pemeriksaan kebersihan persekitaran di IPD telah dijalankan termasuk kebersihan dan keselamatan makanan yang dibekalkan. Pemeriksaan ini masih terus dijalankan.

Berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan didapati situasi di dalam lokap adalah bersih dan terkawal. Kementerian Kesihatan Malaysia akan terus memantau situasi kejadian ini dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

SUMBER:

Laman Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI