Tiada Bukti Yang Menunjukkan Bahawa ‘Disinfection Box/ Chamber/ Tunnel/ Booth/ Partition Gate’ Berkesan Dalam Mengurangkan Jangkitan COVID-19

TULAR:
2550

Menurut kenyataan rasmi Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, KKM ingin memaklumkan bahawa beberapa permohonan telah diterima bagi tujuan pengesahan penggunaan Disinfection Box / Chamber / Tunnel /Booth / Partition / Gate untuk mengurangkan jangkitan COVID-19, di mana ianya telah dinilai oleh Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan, KKM. Ini memandangkan ianya dilaporkan telah digunakan sebagai peralatan nyahkuman di beberapa negara.

Penilaian telah dilakukan terhadap beberapa model peralatan tersebut daripada beberapa negara dan juga model-model yang sedia ada di Malaysia. Adalah didapati bahawa proses nyahkuman oleh peralatan yang dinilai melibatkan seseorang melalui peralatan tersebut untuk tempoh 20-30 saat di mana individu akan disembur menggunakan bahan kimia bagi tujuan nyahkuman. Kesemua model yang telah dikaji menggunakan bahan kimia berlainan.

Hasil daripada penilaian yang dilakukan mendapati bahawa tiada bukti untuk menunjukkan bahawa peralatan tersebut berkesan dalam mengurangkan jangkitan COVID-19. Jangka masa 20-30 saat tidak memadai untuk proses nyahkuman yang berkesan. Prosesnya juga tidak boleh membunuh kuman di dalam badan manusia. Tambahan pula bahan kimia yang digunakan boleh membawa kemudaratan kepada selaput badan (membrane mucosa) seperti di mata dan mulut.

Berdasarkan penilaian tersebut, KKM tidak menyarankan penggunaan Disinfection Box / Chamber / Tunnel /Booth / Partition / Gate sebagai langkah untuk mengurangkan jangkitan COVID-19 terhadap manusia.

SUMBER:

Laman Rasmi KP Kesihatan Malaysia


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI