Amaran Keras Terhadap Penggunaan Mykad Orang Lain Tanpa Izin Bagi Transaksi BUDI95

TULAR:
10

Menurut Kementerian Kewangan (MOF):

MOF memandang serius beberapa aduan mutakhir melibatkan dakwaan penggunaan maklumat MyKad tanpa kebenaran bagi transaksi di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

MOF menegaskan bahawa penggunaan atau pemilikan MyKad milik orang lain tanpa kuasa yang sah merupakan satu kesalahan serius di bawah Peraturan 25 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990. Jika disabitkan kesalahan, individu berkenaan boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan dengan itu, MOF memberi amaran keras supaya tiada pihak menggunakan nombor atau maklumat MyKad milik individu lain tanpa kebenaran bagi mendapatkan manfaat subsidi BUDI95.

Dalam masa yang sama, MOF telah mengarahkan syarikat peruncit minyak supaya memperketat pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) pengesahan MyKad bagi setiap transaksi BUDI95. Sebarang urus niaga yang dilakukan secara manual tanpa pengesahan fizikal MyKad terlebih dahulu adalah tidak dibenarkan kerana ia membuka ruang kepada transaksi tanpa kebenaran, penyalahgunaan subsidi dan pelanggaran integriti pelaksanaan program.

MOF juga telah mengarahkan syarikat peruncit minyak untuk menjalankan siasatan lanjut ke atas transaksi yang dikenal pasti melanggar SOP, dan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya terhadap stesen yang terlibat, serta memperkukuh pemantauan dalaman bagi memastikan pematuhan berterusan di semua stesen minyak.

Langkah-langkah pembetulan turut dikeluarkan, termasuk latihan semula kepada kakitangan barisan hadapan, pemaparan SOP di kaunter pembayaran, serta penyaluran dan pampasan yang bersesuaian kepada pelanggan yang terkesan, tertakluk kepada hasil siasatan. Syarikat-syarikat peruncit minyak juga telah diarahkan untuk menghubungi pemegang MyKad yang terkesan bagi membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut.

MOF akan terus memantau corak transaksi BUDI95 di semua stesen minyak dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan SOP atau penyalahgunaan subsidi bersasar.

Penerima BUDI95 digalakkan untuk menyemak rekod transaksi mereka di portal https://www.budi95.gov.my dan segera membuat laporan polis sekiranya terdapat transaksi tanpa kebenaran.

Penerima BUDI95 yang terkesan akibat transaksi tanpa kebenaran boleh membuat aduan dalam tempoh 30 hari selepas kejadian kepada Pusat Khidmat BUDI MADANI (BUDI MADANI Contact Centre; BMCC) dengan melampirkan dokumen berikut untuk tindakan selanjutnya:

1. laporan polis yang menyatakan tarikh, masa dan butiran stesen minyak berkaitan;

2. salinan kad pengenalan; dan

3. senarai transaksi yang dikemukakan dalam laporan polis.

Aduan boleh dikemukakan kepada BMCC melalui talian 1300-88-9595, WhatsApp di +603-2631 4595, atau e-mel ke [email protected]. BMCC beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

MOF menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak berkongsi maklumat MyKad dengan mana-mana pihak bagi tujuan transaksi subsidi. Orang ramai juga dinasihatkan supaya hanya merujuk kepada saluran rasmi MOF dan portal BUDI MADANI bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung program ini.

SUMBER:

Facebook Rasmi MOF


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI