Dakwaan Menteri Dalam Negeri Meluluskan Kewarganegaraan Pendatang Cina Adalah Tidak Benar

TULAR:
6

SEBENARNYA:

Menurut kenyataan Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail:

Dakwaan tidak bertanggungjawab ini FITNAH dan berita palsu seperti tidak boleh dijadikan senjata politik, terutamanya ketika Kerajaan bertungkus lumus membantu rakyat menangani Krisis Bekalan Global.

Sepanjang saya memegang jawatan Menteri Dalam Negeri, saya telah menjelaskan fakta ini beserta data yang lengkap beberapa kali di Parlimen dan juga sesi bertemu media. Namun poster berunsur fitnah dan berbaur 3R ini muncul dan tular sekali lagi selepas penafian saya mengenai isu yang sama pada Mac tahun lepas.

Proses kelulusan kewarganegaraan negara bukan dibuat secara sewenang-wenangnya, apatah lagi untuk memenuhi agenda politik pihak tertentu. Setiap permohonan tertakluk sepenuhnya kepada Perlembagaan Persekutuan, undang-undang serta tapisan keselamatan yang ketat.

Dakwaan kononnya saya “memberi kewarganegaraan kepada rakyat China sesuka hati” adalah fitnah berniat jahat yang sengaja dimainkan untuk membakar sentimen rakyat dan mengelirukan masyarakat.

Saya menyeru rakyat supaya tidak mudah terpedaya dengan naratif palsu dan sentiasa menyemak fakta daripada sumber yang sahih. Penyebaran fitnah dan berita tidak benar bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah boleh menjejaskan keharmonian serta keselamatan negara.

Saya juga menyeru pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita fitnah dan palsu ini agar menghentikan segera tindakan tidak bermoral tersebut dan bersama-sama menyokong usaha Kerajaan dalam mendepani cabaran semasa termasuk isu Krisis Bekalan Global yang memberi kesan kepada rakyat dan negara.

Ini bukan masanya untuk menimbulkan keresahan, memainkan sentimen atau menambah beban rakyat dengan fitnah serta propaganda yang tidak berasas. Dalam keadaan rakyat sedang berdepan tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi global, semua pihak seharusnya lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat serta mengutamakan kestabilan, perpaduan dan kesejahteraan negara.

SUMBER:

Facebook Rasmi Menteri Dalam Negeri


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI