Makluman: NRES Perkukuh Kerjasama Strategik Dalam Inisiatif Ekonomi Hijau

TULAR:
5

Menurut kenyataan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES):

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YB Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup, hari ini telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi US-ASEAN Business Council (USABC) yang diketuai oleh TYT Duta (B) Brian D. McFeeters, Presiden Interim dan CEO USABC. Pertemuan signifikan ini bertujuan memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysia dan sektor swasta Amerika Syarikat, khususnya dalam memacu agenda Rang Undang-undang Perubahan Iklim (RUUPIN) serta Dasar Pasaran Karbon Negara (DPKK).

Dalam sesi tersebut, YB Menteri menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi Malaysia untuk mencapai aspirasi pelepasan gas rumah hijau (GHG) sifar bersih seawal-awalnya pada tahun 2050. Beliau turut berkongsi perkembangan terkini mengenai penggubalan RUUPIN yang dijadualkan untuk pembentangan di Parlimen pada Jun 2026, yang akan menjadi tunjang kepada tadbir urus iklim negara.

Pihak USABC secara rasmi menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif RUUPIN yang diterajui oleh NRES. Delegasi industri menyifatkan langkah perundangan ini sebagai satu anjakan paradigma yang memberikan kepastian kawal selia (regulatory certainty) kepada pelabur antarabangsa. Dalam masa yang sama, pihak USABC menzahirkan harapan agar Kerajaan Malaysia mengekalkan konsistensi pelaksanaan dasar bagi menjamin kestabilan ekosistem pelaburan jangka panjang.

Antara intipati utama perbincangan termasuklah:

Pihak industri berharap Malaysia mengambil peranan peneraju (lead) dalam menyelaraskan polisi karbon di peringkat ASEAN. Langkah ini dilihat kritikal bagi memudah cara perdagangan rentas sempadan dan integrasi pasaran karbon serantau yang lebih efisien.

Industri menyarankan agar hasil kutipan cukai karbon disalurkan secara telus kepada projek-projek konservasi, inisiatif mitigasi iklim, dana pembangunan teknologi hijau bagi memastikan impak positif terhadap alam sekitar dapat diukur dengan jelas.

Pihak Syarikat ahli menyifatkan peranan NRES sebagai pemudah cara (facilitator) adalah amat penting. Kerajaan memberi jaminan bahawa sesi libat urus bersama pihak swasta akan terus dipergiat bagi memastikan transisi hijau negara adalah adil, inklusif dan praktikal.

Dalam pada itu, YB Menteri turut menzahirkan penghargaan atas peranan USABC sebagai jambatan inovasi dan pemindahan teknologi. YB menyifatkan hubungan tersebut bukan sekadar advokasi perniagaan, malah merupakan perkongsian asas dalam transformasi Malaysia sebagai kuasa ekonomi hijau serantau.

Sebagai langkah susulan, NRES bersama Malaysia Green Tech & Climate Change Corperation (MGTC) turut mempelawa syarikat-syarikat ahli USABC untuk menyertai International Greentech & Eco Products Exhibition & Conference (IGEM 2026) pada Oktober ini bagi meneroka peluang pelaburan dalam teknologi rendah karbon.

Delegasi USABC yang disertai oleh 22 buah syarikat terkemuka antaranya IBM, Micron dan Boeing, menyatakan kesediaan untuk menyumbang kepakaran teknikal bagi memastikan transisi hijau Malaysia berjalan dengan lancar dan kos-efektif.

SUMBER:

Facebook Rasmi NRES


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI