Jangkitan Monkeypox Menular Di Malaysia?

TULAR:
785
Sumber gambar: hippocrates.media

PALSU:

Tular di media sosial dakwaan kononnya jangkitan monkeypox menular di Johor dan Kuala Lumpur.

Kandungan mesej yang tular tersebut adalah seperti berikut:

“*AWAS & BERHATI-HATI*

Kementerian Kesihatan Malaysia sedang adakan mesyuarat tergempar…

Semua pemilik sebarang jenis binatang yang mempunyai *DNA Beruk* & *Monyet* dinasihati supaya jauhkan diri dari binatang peliharaan anda terutamanya anak kecil.

Masih belum ada rawatan penyakit ini.

*Singapura* & *Indonesia* telah mengesahkan rekod kematian & *Malaysia* telah sahkan rekod jangkitan serius.

Merebak dari *Indonesia* ke *Singapore* & *Johor* serta kini di KL.

Jauhkan anak dibawah usia *8 tahun* dari semua jenis binatang peliharaan anda…

*Awas* Sila berhati hati & sekiranya anda *membela species monyet atau beruk* sila serahkan kepada perhilitan atau jabatan yang berkaitan serta laksanakan pemeriksaan Darah seluruh ahli keluarga.

*Saya hanya share… Maafkan kalau salah info*”

Sumber gambar: Facebook

Menurut kenyataan rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM):

Untuk makluman sehingga kini, tiada kes monkeypox dikesan atau dilaporkan berlaku di Malaysia. Melalui laporan daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kes monkeypox terkini yang dilaporkan adalah di Singapura pada 9 Mei 2019 lalu, di mana ianya hanya melibatkan seorang warganegara Nigeria yang datang ke Singapura pada 28 April 2019 bagi menghadiri bengkel. Ia merupakan kes pertama dilaporkan di Asia.

Langkah-langkah pencegahan dan kawalan ketat telah dan sedang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Singapura bagi mengurangkan risiko penularan penyakit tersebut, termasuk kuarantin ke atas 23 orang yang mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes bagi pemantauan status kesihatan mereka.

Tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Singapura menjadi kontak kepada kes monkeypox itu.

KKM akan terus memantau status terkini kejadian monkeypox melalui maklumat terkini daripada pihak WHO. Selain dari itu, penekanan diberikan kepada anggota kesihatan mengenai pemantauan kes yang disyaki monkeypox di Malaysia.

SUMBER:

Laman Rasmi KP Kesihatan


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI