Makanan Mengandungi Bahan Pewarna Cochineal Tidak Halal?

TULAR:
35229

PENJELASAN :

Bahagian Hab Halal JAKIM memperjelaskan dakwaan bahawa bahan pewarna Cochineal yang terdapat dalam makanan/minuman ataupun ubat-ubatan adalah tidak halal untuk dimakan, sepertimana yang tular di media sosial.

Sumber gambar: Facebook.

Menurut kenyataan rasmi dari Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia :

Pihak kami mula menerima pertanyaan berkenaan status halal bahan pewarna Cochineal yang didakwa tidak halal. Tular ini berpunca dari gambar pembentangan mufti kerajaan yang menyatakan “pewarna yang berasal dari Cochineal yang diberi kod C.I. 75470 atau E120 sama ada pada makanan, minuman, ubat-ubatan ataupun kosmetik adalah tidak halal dimakan dan tidak suci untuk digunakan.”

Untuk makluman pengguna, pembentangan tersebut dibuat di program Brunei Halal Showcase (BRUHAS) 2017 dan ianya merupakan pandangan dan ketetapan bagi Negara Brunei Darussalam sahaja. Manakala Malaysia pula berpegang pada keputusan fatwa berdasarkan sighah yang telah dibuat iaitu HARUS.

Hal ini bertepatan dengan keputusan yang telah dibuat oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-100 yang bersidang pada 4 hingga 6 Julai 2012 yang telah membincangkan Hukum Bahan Pewarna Cochineal: Kajian Semula Kadar Piawaian Yang Ditetapkan Oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI.

Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:

1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa cochineal adalah jenis serangga (kumbang betina) yang tidak membahayakan dan zat pewarna yang dihasilkan daripada cochineal boleh dimanfaatkan oleh manusia. Dari segi perundangan negara, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 telah menetapkan bahawa pewarna carmine yang diperolehi dan dihasilkan daripada cochineal adalah dibenarkan berdasarkan Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP).

2. Muzakarah juga menegaskan bahawa Jumhur Fuqaha’ sepakat menetapkan bahawa bangkai serangga yang darahnya tidak mengalir adalah suci, dan pewarna cochineal adalah diperolehi daripada serangga cochineal yang telah mati di mana darahnya tidak mengalir.

3. Berdasarkan ketetapan tersebut, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa penggunaan bahan pewarna cochineal dalam makanan, minuman dan barang gunaan adalah DIHARUSKAN dan kadar penggunaan yang dibenarkan adalah mengikut ketetapan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia selagi mana ia tidak mendatangkan kemudharatan.

Dari aspek pensijilan halal, kami berpegang pada keputusan fatwa Malaysia dan dalam masa yang sama meraikan pandangan Negara Brunei Darussalam. Hal berkaitan isu ini adalah bersifat ijtihadi dan konsensus Ulama’ bagi sesebuah negara pasti mempunyai hujah tersendiri sekalipun dilihat berbeza dari segi hasil penilaian.

Justeru, hal ijtihadi ini perlu dilihat secara berlapang dada dan meraikan pandangan masing-masing serta tidaklah berdosa bagi mana-mana pandangan pihak autoriti lain yang berbeza. Oleh itu, jadilah pengguna yang bijak sebelum menyebar dan berkongsi sesuatu isu halal yang tular dengan merujuk pihak berwibawa bagi mengelak timbulnya salah faham sesama ummah.

Sebarang kemusykilan berkenaan isu-isu halal yang tular boleh ikuti penjelasan lanjut di FB Bahagian Hab Halal, JAKIM:-

http://bit.ly/PenjelasanIsuHalalTular

Untuk mengetahui status halal produk yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia boleh layari direktori halal di www.halal.gov.my atau di aplikasi telefon pintar SmartHalal dan Verify Halal.

 

SUMBER :

Facebook Bahagian Hab Halal JAKIM


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI