Krisis Tenaga Global: Langkah Segera Ringankan Beban PMKS

TULAR:
4

Menurut Kementerian Kewangan (MOF):

Berpandukan input langsung daripada PMKS, Kerajaan hari ini mengumumkan beberapa langkah segera bagi meringankan tekanan kos dan memastikan kelangsungan perniagaan:

Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP)

  • Peruntukan jaminan sebanyak RM5 bilion di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) untuk menyokong PMKS yang terjejas. terutama dalam sektor pembinaan, pertanian dan agri-makanan, logistik dan pengangkutan, serta pelancongan;
  • Jaminan bagi sektor yang terkesan ini ditambahbaik berbanding skim SJPP biasa melalui liputan pembiayaan sehingga 80% (biasa 70%) dan tempoh jaminan sehingga 10 tahun (biasa 7 tahun);
  • SJPP juga akan bekerjasama dengan pihak bank untuk memudahcara penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman SJPP serta bantuan bayaran balik secara bersasar.

Setakat ini, skim SJPP terus menjadi antara instrumen utama Kerajaan dalam menyokong kelangsungan PMKS, dengan lebih 50,000 PMKS telah dibantu melalui jaminan pembiayaan melebihi RM50 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2025.

Kelonggaran e-invois

  • Tempoh peralihan tambahan selama 12 bulan bagi pelaksanaan e-Invois Fasa 4 sehingga 31 Disember 2027 untuk perniagaan dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta, termasuk kebenaran mengeluarkan e-invois disatukan dan tanpa penalti dalam tempoh tersebut.

Pengecualian Duti Import untuk Pengimportan Semula

  • Pertimbangan secara interim terhadap pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas pengimportan semula barangan buatan Malaysia yang tidak dapat melengkapkan proses eksport susulan gangguan konflik, sehingga 31 Disember 2026.
  • Kerajaan akan terus memantau dan mengkaji keperluan untuk memudahcara layanan cukai bagi perniagaan yang terkesan daripada konflik Asia Barat

YAB Dato’ Seri Anwar menegaskan bahawa dalam menghadapi tekanan global yang berpanjangan, Kerajaan akan terus bertindak proaktif bagi memastikan ekosistem perniagaan kekal berdaya tahan dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan.

Sejajar dengan kerangka Ekonomi MADANI, Kerajaan bertekad untuk terus memperkukuh daya tahan ekonomi negara dalam menghadapi ketidaktentuan global, sambil memastikan bantuan disampaikan secara bersasar kepada mereka yang paling memerlukan.

SUMBER:

Facebook Rasmi MOF

BERNAMA

RTM


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI