Makluman: Pengurusan Tenaga Kerja Kesihatan Di KKM

TULAR:
5

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM):

KKM mengambil maklum pandangan dan keprihatinan pelbagai pihak berhubung isu pengurusan tenaga kerja kesihatan, khususnya yang melibatkan Pegawai Perubatan di bawah KKM. KKM amat menghargai pandangan ini yang mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh sistem kesihatan negara demi kesejahteraan rakyat.

Dalam masa yang sama, pengurusan tenaga kerja kesihatan melibatkan beberapa agensi kerajaan dengan peranan khusus masing-masing. Penetapan kuota perjawatan adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), urusan pelantikan dilaksanakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), manakala KKM bertanggungjawab mengurus permohonan, pengisian, penempatan dan penyampaian perkhidmatan kesihatan di fasiliti KKM.

KKM juga ingin menegaskan bahawa proses pengambilan Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) berjalan secara konsisten. Berdasarkan data tahun 2022 hingga 2025, KKM secara purata menerima sekitar 3,200 PPS setiap tahun. Bagi isu pengambilan PPS, angka 529 orang graduan yang melapor diri adalah merujuk kepada kemasukan Siri 1 Tahun 2026 sahaja. Pengisian dan penempatan PPS dibuat secara berperingkat melalui enam siri setahun kerana graduan perubatan menamatkan pengajian pada masa yang berbeza. Oleh itu, baki kuota 5,000 slot latihan siswazah akan diisi setelah graduan melapor diri.

Bagi pelantikan tetap melibatkan pegawai perubatan kontrak tahun 2026 pula, seramai 328 daripada 4,500 pegawai perubatan kontrak telah ditawarkan pelantikan tetap pada bulan Februari 2026 manakala, baki seramai 4,172 Pegawai Perubatan kontrak akan ditawarkan lantikan tetap secara berfasa pada tahun ini.

KKM juga sedang dan akan terus melaksanakan penambahbaikan secara berterusan. Antara langkah yang telah dilaksanakan termasuk penurunan kuasa oleh SPA bagi pelantikan kontrak skim perkhidmatan di KKM, pengecualian syarat temu duga bagi pelantikan tertentu, pewujudan jawatan baharu melalui projek fasiliti baharu dan naik taraf, penambahbaikan beberapa elaun seperti Elaun Atas Panggilan dan elaun berkaitan tugasan selepas waktu pejabat. Untuk tahun 2026, JPA telah meluluskan sebanyak lebih 18,000 pengisian bagi jawatan di gred lantikan yang meliputi pelbagai skim perkhidmatan termasuk skim di dalam klasifikasi perkhidmatan perubatan dan kesihatan. Urusan pengambilan ini akan dilaksanakan secara strategik bersama dengan SPA bagi memastikan pelantikan dilaksanakan mengikut perancangan.

Fokus utama KKM adalah memastikan kebajikan petugas kesihatan terus diberi perhatian dan pada masa yang sama komited memastikan rakyat menerima perkhidmatan kesihatan yang selamat, berkualiti dan berkesan.

SUMBER:

X Rasmi KKM


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI