Pemilihan Untuk Pendaftaran Nama Anak Perlu Persetujuan Daripada Ibu Bapa?

TULAR:
922

PENJELASAN:

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memperjelaskan dengan lebih terperinci berhubung pemberian nama anak oleh ibu bapa, bagi tujuan pendaftaran nama anak.

Sumber gambar: Kosmo

Menurut kenyataan rasmi JPN:

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ingin menjelaskan bahawa Jabatan ini tidak meletakkan syarat khusus dalam pemberian nama kanak-kanak oleh ibu bapa. Keputusan untuk pemberian nama kepada kanak-kanak adalah bergantung kepada ibu bapa atau pemaklum kelahiran tersebut sepenuhnya. Nama yang diberikan oleh ibu bapa bergantung kepada individu tersebut dan adalah subjektif.

Walau bagaimanapun, JPN mempunyai garis panduan dalam pendaftaran nama anak. Bagi kes-kes di mana terdapat ibu bapa yang ingin menamakan anak-anak mereka dengan nama yang tidak digalakkan, pihak JPN akan menasihatkan kedua ibu bapa akan ketidaksesuaian nama yang dipilih terlebih dahulu. Di dalam hal tersebut, pihak JPN mengkategorikan penamaan kanak-kanak yang dilarang kepada dua kategori iaitu Nama Yang Ditegah (Objectionable) seperti nama gelaran, keturunan, lucah, bermaksud buruk, initials dan ringkas; dan Nama Yang Tidak Sesuai (Undesirable) seperti nama binatang, lucu, buah-buahan, peralatan, huruf atau angka atau gabungan kedua-duanya dan nama yang tidak elok maknanya.

Ibu bapa yang ingin mengekalkan nama yang dipilih, perlu mengemukakan permohonan dengan menyatakan persetujuan bahawa mereka bersetuju untuk menamakan anak mereka dengan nama tersebut.

Turut dijelaskan, pendaftaran nama bagi Sijil Kelahiran juga akan digunakan dalam MyKad. Ruang nama atas MyKad pada masa ini hanya boleh dimasukkan sebanyak 80 aksara sahaja. Walau bagaimanapun jika terdapat mana-mana individu yang mempunyai nama melebihi 80 aksara, individu tersebut boleh dikeluarkan Kad Pengesahan Nama (KPN) sebagai pengesahan nama panjang yang tidak muat dicetak di atas MyKad.

SUMBER:

Facebook Rasmi JPN


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI