Penjelasan Isu Penternakan Khinzir Dan Ayam Di Dalam Satu Kawasan

TULAR:
1501

Menurut kenyataan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS):

Merujuk kepada video tular berkaitan penternakan babi bersama penternakan ayam pedaging di dalam satu kawasan yang sama, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) ingin memberi maklum balas berhubung perkara tersebut.

Untuk makluman, satu operasi bersepadu antara Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (DVS Penang) telah diadakan bersama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bagi menyiasat aduan viral berkenaan di ladang terbabit. Melalui operasi yang dijalankan pada 11 Julai 2023, DVS mengesahkan bahawa terdapat sebuah ladang di Seberang Perai yang menternak babi bersama ayam pedaging di dalam satu kawasan yang sama.

Ladang terbabit merupakan ladang babi yang berdaftar dengan DVS, tetapi tidak mempunyai lesen untuk beroperasi kerana tidak mematuhi peraturan di bawah pelesenan yang menetapkan semua ladang babi perlu menaiktaraf kepada sistem kandang tertutup dan zero discharge iaitu tiada sisa kumbahan terlepas ke parit awam. Ekoran itu, Notis Pengosongan Kandang, Penutupan dan Pemberhentian Operasi telah dikeluarkan kepada ladang tersebut.

Satu kompaun di bawah Enakmen Penternakan Babi (Pulau Pinang) 2016 telah dikeluarkan kepada ladang berkenaan dan membawa kepada kompaun sebanyak RM7,500.00 atau denda RM30,000.00 atau/dan penjara 3 tahun tertakluk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Ladang babi ini, jelas telah melanggar Peraturan-Peraturan Pelesenan Penternakan Babi (Pulau Pinang) 2020, iaitu Peraturan 19 (1), yang menyatakan bahawa semua spesis haiwan dan unggas lain hendaklah tidak dibenarkan dipelihara di ladang babi.

Justeru, satu notis arahan telah dikeluarkan kepada pemilik ladang untuk mengosongkan ayam pedaging daripada ladang babi berkenaan dalam tempoh 7 hari.

Melalui operasi yang dijalankan, DVS mendapati ayam pedaging hidup yang diternak di ladang terbabit tidak dihantar ke mana-mana rumah sembelihan dan hanya dijual di pasaran bukan Islam sahaja, dan tidak melibatkan penjualan ke lokasi lain.

Untuk memastikan perkara ini tidak berulang, DVS akan memeriksa semua ladang babi bagi memastikan tiada spesis haiwan dan unggas diternak secara komersial di semua ladang babi. DVS akan turut mengeluarkan surat peringatan kepada semua ladang babi agar mematuhi peraturan pelesenan ternakan babi.

DVS memohon agar video tersebut dihentikan penularannya bagi mengelakkan kerisauan dalam kalangan orang awam.

SUMBER:

Facebook Rasmi DVS


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI